Menurut Agensi Berita China, Naib Pengerusi Persatuan Palang Merah China Jiang Yiman pada 25 Oktober lalu mengumumkan, Pusat Sumsum China telah mengumpulkan data HLA dari 300 ribu orang dan 300 orang sukarelawan berjaya menderma sel stem hematopoietik mereka.
Dimaklumkan, setakat penghujung bulan September tahun ini, China telah menubuhkan 30 buah pusat sumsum cawangan peringkat provinsi, 25 buah makmal HLA dan sebuah makmal pengendalian kualiti. Pusat-pusat dan makmal tersebut telah menyediakan data HLA dari 300 ribu orang kepada para pesakit serta telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan lebih 60 buah hospital dalam dan luar negara. Sehubungan dengan itu, lebih 2,000 pesakit telah berjaya memperolehi HLA yang bersesuaian dan 300 orang sukarelawan telah menderma sel stem hematopoietik mereka bagi para pesakit.
Jiang Yiman menyatakan, Pusat Sumsum China berkembang baik, tetapi masih mempunyai jurang perbezaan yang besar berbanding dengan pusat sumsum negara maju dan masih belum mewujudkan matlamat mengumpulkan data HLA dari sejuta orang bagi memberi perkhidmatan kepada orang Cina sejagat. Jabatan berkenaan kerajaan dan pelbagai kalangan masyarakat seharusnya terus menyokong dan membantu pembinaan dan perkembangan pusat sumsum itu. Selain itu, warga negara juga diharapkan secara positif mengambil bahagian dalam usaha menderma sel stem hematopoietik.
Pengerusi Persatuan Palang Merah China Peng Yun telah merasmikan laman web Pusat Sumsum China edisi baru untuk mengumumkan maklumat terbaru tentang pusat sumsum kepada masyarakat dan menjawab soalan yang menjadi tumpuan perhatian rakyat jelata. Laman web itu pula dengan percuma menyediakan perkhidmatan pencarian HLA yang sesuai bagi pesakit. Pesakit yang mencari HLA yang sesuai menerusi laman web itu akan mendapat maklumat tentang pencarian itu selepas seminggu.
Sidang akhbar mengenai penubuhan dan perkembangan Pusat Sumsum China diadakan pada hari itu. Dalam sidang tersebut, sukarelawan Si Yuejie dan Ren Peng dianugerahkan Sijil Kehormat Sukarelawan Derma Sel Stem Hematopoietik.
|