Sidang Kemuncak Kerjasama Strategik Ekonomi Ayeyawady-Chao Phraya-Mekong ke-2 selama sehari telah diadakan di Bangkok semalam. Sidang kemuncak itu telah mengeluarkan "Perisytiharan Bersama Sidang Kemuncak Ke-2" dan "Perisytiharan Bersama Pemimpin Sidang Kemuncak Mengatasi Selesema Burung dan Penyakit Berjangkit Lain". Penganalisis berpendapat, hasil sidang kemuncak kali ini mencerminkan bahawa "kerjasama" sudah menjadi kata sepakat negara-negara Asia Tenggara.
Perdana Menteri Myanmar, Soe Win, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Perdana Menteri Vietnam, Phan Van Khai, Perdana Menteri Laos, Bounnhang Vorachith dan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra telah menghadiri sidang kemuncak kali ini. Mereka telah mengadakan perbincangan mendalam tentang kerjasama ekonomi sub kawasan dan usaha mengatasi selesema burung.
Dalam bidang kerjasama ekonomi, Perdana Menteri Thailand, Thaksin terlebih dahulu menyampaikan ucapan bahawa tujuan sidang kemuncak kali ini adalah menjalin hubungan persahabatan antara pelbagai negara anggota dalam mekanisme kerjasama strategik ekonomi Ayeyawady-Chao Phraya-Mekong, memangkin perdamaian dan kestabilan serantau, mengurangkan jurang perbezaan pelbagai negara dalam bidang ekonomi dan mendorong pembangunan kawasan sempadan pelbagai negara. Kemudian pemimpin lima negara tersebut telah membincangkan intekrasi dan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kerjasama pertanian, industri, komunikasi, pelancongan, pembangunan tenaga manusia dan kesihatan awam serta mencapai kata sepakat.
Dalam "Perisytiharan Bersama Sidang Kemuncak Ke-2" dinyatakan, lima negara anggota seharusnya mengutamakan kerjasama dalam empat bidang seperti berikut: pertama, menghapuskan halangan perdagangan dan pelaburan pada masa ini, menubuhkan pasaran pemborongan di kawasan sempadan, melaksanakan rancangan sumber tenaga yang berdaya saing dan menyediakan iklim perdagangan baik antara lima negara tersebut. Kedua, menjalankan kerjasama dalam bidang kesihatan awam dan mengambil tindakan bersama untuk mengatasi penyakit selesema burung. Ketiga, menjalin jaringan teknologi maklumat untuk memudahkan pelaksanaan rancangan visa antara lima negara tersebut untuk meningkatkan keefisienan kerjasama. Dan keempat, menjalin hubungan bandar kembar di kawasan sempadan agar memangkin mekanisme kerjasama strategik ekonomi kawasan tersebut.
Sidang kemuncak kali ini bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap kerjasama ekonomi, tetapi juga mengutamakan usaha mengatasi selesema burung. Seperti kenyataan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan semalam bahawa selesema burung merupakan ancaman kepada manusia tanpa batas sempadan, pelbagai negara mesti meningkatkan kerjasama untuk mengatasi penyakit itu. Para pemimpin Sidang Kemuncak ACEMCS kali ini menyatakan, apabila penyakit selesema burung mulai menular di Eropah dan Amerika, lima negara Asia Tenggara sudah mengeluarkan perisytiharan untuk mengambil tindakan bersama mengatasi penyakit itu serta mengemukakan tindakan konkrit.
Dalam "Perisytiharan Bersama Pemimpin Sidang Kemuncak Mengatasi Selesema Burung dan Penyakit Berjangkit Lain" dinyatakan, penyakit selesema burung dan AIDS serta penyakit berjangkit lain bukan sahaja akan meragut nyawa manusia, tetapi juga menjejaskan ekonomi masyarakat. Penyakit berjangkit itu merupakan ancaman serius bagi kerjasama strategik ekonomi Ayeyawady-Chao Phraya-Mekong. Pemimpin lima negara berkaitan berjanji akan menyelesaikan masalah penyakit selesema burung dan telah menetapkan tindakan konkrit termasuk menjalankan kerjasama kesihatan awam, menubuhkan sistem pemantauan serantau, menjalankan pengkajian tentang vaksin dan lain-lain.
|