Menurut berita BERNAMA, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ASEAN melihat China sebagai peluang bagi pembangunan ekonomi masa depan. ASEAN sebagai sebuah persatuan mendapat manfaat dari perluasan ekonomi China dengan perdagangan meningkat dengan pantas.
Abdullah berkata demikian di taklimat di Kementerian Luar di Putrajaya mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur dan siri sidang kemuncak lain yang akan dihoskan oleh Malaysia dari 10 hingga 14 Disember.
Beliau menyebut dasar penglibatan dan bukan penyekatan dengan China sebagai contoh betapa tepatnya langkah yang telah diambil ASEAN.
"Kita terbukti betul. Sementara pihak Amerika dan beberapa negara Eropah melihat China sebagai ancaman yang perlu disekat, kita meneruskan dasar penglibatan ini."
Ketika menyebut Sidang Kemuncak Asia Timur yang pertama di Kuala Lumpur bulan depan, Abdullah menjangkakan sidang tersebut benar-benar "diterajui pemimpin", satu perubahan dari sidang-sidang kemuncak serantau lepas di mana ketua-ketua kerajaan setakat mengesahkan agenda disediakan oleh pegawai-pegawai kanan dan menteri.
Abdullah berkata mesyuarat pemimpin-pemimpin itu dari 10 negara anggota Asean dengan rakan perbincangan dari China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, adalah penting dari segi strategi dalam membincangkan masa depan seluruh Asia Timur seiringan dengan persekitaran global.
|