Menurut berita BERNAMA, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Sidang Kemuncak Asean ke-11 dan mesyuarat Asean lain di Kuala Lumpur bulan depan akan memperkukuh integrasi serantau bagi memberi manfaat ketara dalam bidang sosial dan ekonomi kepada penduduk di rantau berkenaan.
Ketika menjelaskan wawasan Perdana Menteri itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata hakikat yang telah diterima umum ialah Asean serta tiga jirannya iaitu China, Korea Selatan dan Jepun, yang juga dikenali sebagai Asean+3, merupakan jentera bagi melahirkan komuniti Asia Timur.
Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita di Putrajaya hari Isnin bagi menjelaskan taklimat yang diberi oleh para pegawai Wisma Putra kepada Abdullah serta sekumpulan editor media cetak dan elektronik mengenai persiapan bagi sidang kemuncak yang akan diadakan bulan depan, termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak Asean+3 ke-9.
Syed Hamid berkata beliau tidak nampak wujudnya sebarang pertindihan dalam mengadakan Sidang Kemuncak Asean+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur kerana sidang kemuncak itu akan memberi tumpuan kepada isu berbeza.
"Sidang Kemuncak Asia Timur akan melihat perspektif lebih meluas tentang isu antarabangsa dan bagaimana ia memberi kesan kepada rantau kami, isu di luar Asean+3. Asean+3 pula akan memberi tumpuan kepada karjasama, terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan," katanya.
Katanya Malaysia menganggap sidang kemuncak berkenaan sebagai amat penting dan akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kejayaannya.
|