Festival Kesenian Asia Ke-7 yang bertema "Memfokuskan Kebudayaan dan Mewujudkan Kemakmuran Bersama" akan diadakan di bandar Foshan, Provinsi Guangdong China pada 11 hingga 17 November 2005. Dalam festival kali ini juga akan diadakan Forum Menteri Kebudayaan Asia.
Festival tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan China dan kerajaan Provinsin Guangdong China, tujuannya adalah untuk menggalakkan pertukaran dan mempererat persahabatan antara pelbagai negara Asia, memangkin perkembangan industri kebudayaan serta memenuhi keperluan rakyat terhadap kebudayaan. Sebanyak lebih 20 rombongan kesenian yang melibatkan seramai kira-kira 500 orang seniman dari pelbagai negara Asia akan mengambil bahagian dalam festival itu.
Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya telah mencipta keseniannya yang gilang-gemilang. Sempena Festival Kesenian Asia ke-7 yang akan diadakan di bandar Foshan ini, wartawan radio kita telah mewawancara Duta Besar Malaysia di China Dato' Syed Norulzaman. Menyentuh tentang kenapa Malaysia begitu mementingkan festival ini, beliau berkata,
"Kami banyak terima kasih atas jemputan China untuk mengambil bahagian sekali lagi dalam Festival Kesenian Asia Ke-7. Festival seperti ini akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkenalkan kebudayaan dan kesenian Malaysia kepada negara-negara sahabat di rantau ini. Festival ini amat berguna kerana kita dapat memberi lebih banyak persefahaman kepada rakyat negara lain mengenai kesenian dan kebudayaan Malaysia."
Dalam sejarah hubungan persahabatan China-Malaysia, Laksamana Cheng Ho merupakan tokoh sejarah yang dihormati dan dikagumi. Pelayarannya telah membawa kebudayaan China ke dunia Melayu, sekali gus meningkatkan pertukaran ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara. Selain itu, orang Cina Malaysia juga menggunakan kelebihan mereka dalam bahasa dan pengetahuan tentang negara China serta semangat gigih yang diwarisi oleh Laksamana Cheng Ho untuk menjayakan pertukaran China-Malaysia dalam pelbagai bidang. Dalam wawancara ini, Dato' Syed Norulzaman juga menyanjung tinggi sumbangan orang Cina dalam usaha meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Malaysia. Beliau menyatakan,
"Peranan orang Malaysia keturunan Cina dalam usaha meningkatkan hubungan Malaysia-China amat penting kerana mereka mempunyai kelebihan dalam bahasa dan pengetahuan tentang China berbanding orang-orang Malaysia yang lain. Kebanyakan pelaburan dan perdagangan yang sedang berlaku antara Malaysia dengan China adalah dari usaha orang-orang Malaysia yang berketurunan Cina. Kami juga menggalakkan orang-orang Malaysia keturunan lain menggunakan pengalaman orang Malaysia yang berketurunan Cina ini untuk menerokai pasaran di negara China."
Festival Kesenian Asia tahun ini telah menyediakan peluang besar kepada semua negara terlibat meningkatkan persefahaman dan pertukaran antara satu sama lain. Hanya dengan berbuat demikian perselisihan agama, bangsa dan tamadun antara pelbagai negara Asia dapat dielakkan dan matlamat membina sebuah masyarakat serantau yang teguh, aman dan damai dapat dicapai. Semasa Dato' Syed Norulzaman ditanya tentang harapannya terhadap festival ini, beliau dengan gembira berkata,
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada bandar Foshan yang akan menjadi tempat di mana Festival Kesenian ini akan dilaksanakan. Saya pasti dengan mengadakan satu festival yang melibatkan seramai lebih 20 negara ini persahabatan antara China dengan negara-negara lain dapat ditingkatkan dan persefahaman rakyat lebih 20 buah negara yang akan mengambil bahagian ini mengenai kesenian, negara, politik dan ekonomi juga akan diintensifkan. Jadi, ia merupakan satu usaha yang amat positif dan juga memberi sumbangan penting kepada usaha negara-negara Asia Timur mendirikan satu East Asia Community. Kalau kesenian, ekonomi dan politik dapat disatukan, kita boleh mendirikan satu East Asia Community yang teguh dan aman."
Wawancara itu berakhir dengan ucapan tahniah Dato' Syed Norulzaman dalam bahasa Mandarin dan Melayu.
|