Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-12-05 10:55:22    
China Meningkatkan Usaha Menyelesaikan Masalah Tunggakan Gaji Buruh

CRI

Di tapak-tapak pembinaan pelbagai bandar di China, saudara tentu akan temui ramai buruh yang datang dari kawasan desa. Tenaga mereka telah digunakan untuk pembangunan di sesebuah bandar. Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka tidak dibayar gaji pada setiap bulan. Gejala itu juga wujud dalam beberapa sektor yang lain. Wartawan CRI baru-baru ini dimaklumkan dalam sidang jabatan kerajaan berkenaan yang diadakan di Beijing bahawa pihak kerajaan sedang meningkatkan usaha menyelesaikan masalah tersebut.

Pembangunan pesat yang berlaku di bandar-bandar di China telah menyebabkan semakin ramai kaum petani dari desa berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Encik Li Xu yang berumur 30 tahun merupakan seorang petani yang berasal dari Provinsi Sichuan di barat daya China. Beliau datang ke Beijing pada lebih 10 tahun yang lalu dan sekarang telah menjadi seorang pentadbir di sebuah syarikat pembinaan di Beijing. Beliau memberitahu pemberita bahawa sejak beliau datang ke Beijing untuk bekerja, pada asasnya, beliau boleh mendapat gaji yang penuh pada setiap tahun.

Beliau semasa diwawancara berkata, "biasanya gaji saya yang berjumlah dua hingga tiga ribu sebulan telah dibayar dalam anggaran 60% atau 70% sahaja pada setiap bulan dan bakinya hanya akan dibayar sekali gus pada penghujung setiap tahun".

Berdasarkan keterangan daripada Encik Li Xu, kita boleh menjangka cara pembayaran gaji kebanyakan buruh di bandar-bandar di China. Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa gejala pembayaran gaji yang tertunggak masih wujud dalam sektor-sektor buruh intensif seperti sektor pembinaan, industri pemprosesan, sektor restoran dan lain-lain. Sebagai contohnya, pada tahun 2003, tunggakan gaji buruh dalam sektor pembinaan berjumlah lebih 16 bilion Yuan RMB.

Semasa menyentuh punca masalah tersebut, pegawai kanan Kementerian Buruh dan Jaminan Sosial China, Encik Wang Zhihong menganalisis bahawa salah satu puncanya ialah masalah kurang kesedaran kalangan pengusaha dalam mematuhi undang-undang. Mereka dengan sengaja tidak membayar gaji buruh yang sepatutnya dibayar. Selain itu, peruntukan kewangan bagi projek pembinaan juga turut tertunggak, maka pihak majikan juga tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja.

Gejala tunggakan gaji buruh pekerja/buruh bukan sahaja telah menjejaskan perkembangan sosioekonomi sektor berkenaan secara sihat, bahkan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan masyarakat tidak stabil. Memandangkan keadaan itu, dalam tempoh dua tahun yang lalu, Dewan Negara China dan kerajaan pelbagai provinsi China telah mengambil pelbagai langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Naib Menteri Buruh dan Jaminan Sosial China, Puan Hua Fuzhou memaklumkan, jabatan kerajaan pelbagai tempat telah meningkatkan usaha memantau kaedah pembayaran gaji pekerja, meninjau dan menyiasat kes rayuan serta mendakwa pihak majikan yang melewat-lewatkan pembayaran gaji pekerja di samping menyempurnakan mekanisme pencegahan dan penyelesaian masalah tunggakan gaji pekerja.

Beliau menambah, pembentukan mekanisme itu termasuklah menyempurnakan undang-undang dan peraturan berkenaan. Kementerian Pembinaan China telah mengeluarkan dokumen tentang pelaksanaan sistem pembayaran terjamin. Sistem itu bukan sahaja menuntut kontraktor menyediakan jaminan pematuhan perjanjian, tetapi juga menuntut syarikat pemaju perumahan menyediakan jaminan pembayaran. Langkah itu telah berusaha menyelesaikan masalah tersebut daripada berakar umbi. Serentak dengan itu, China juga sedang membina sistem kredit pasaran pembinaan. Perusahaan yang melanggar peraturan dan memungkiri janji akan diumumkan kepada masyarakat.

Melalui pelaksanaan langkah tersebut, semua tunggakan gaji buruh binaan telah dibayar sebelum bulan Jun tahun 2004. Pada setengah tahun pertama tahun ini, badan penyeliaan jaminan perburuhan pelbagai peringkat telah menyiasat kira-kira 70 ribu kes pembayaran tertunggak gaji pekerja. Terdapat lebih tiga bilion Yuan RMB tunggakan gaji telah dibayar kepada pekerja.

Perayaan tradisional yang paling penting di China iaitu Tahun Baru China akan tiba dalam masa dua bulan lagi. Pihak berkenaan sedang berusaha untuk menjamin agar pekerja mendapat gaji sepenuhnya sebelum sambutan perayaan Tahun Baru China.

----Puspa