Sejarah adalah satu perkara yang penting di Malaysia, sejarah bangsa Melayu ramai yang tidak tahu. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia tahu tentang sejarah Kesultanan Melaka, ramai juga yang tahu tentang sejarah bangsa Melayu di zaman Srivijaya dan Majapahit, tetapi siapa yang tahu tentang zaman-zaman sebelum itu atau sekitar 2000 hingga 3000 tahun dahulu?
Apabila saya melawat ke taman budaya 10 disnasti semasa berada di Nanjing yang mempamerkan 10 dinasti China yang menjadikan Nanjing sebegai ibu kota, perasaan saya menjadi bercampur-baur antara kagum dan sedih.
Kagum kerana orang-orang bijak pandai di China pada zaman dahulu telah merekodkan dengan baik kisah-kisah maharaja mereka. Walaupun pemerintah bersilih ganti dan berlaku peperangan, riwayat sejarah tetap terpelihara.
Tetapi saya juga rasa sedih kerana terkenangkan sejarah orang saya sendiri yang tidak dicatat atau disimpan dengan baik sepertimana sejarah orang China.
Jika saya kata bahawa tamadun bangsa Melayu adalah sehebat bangsa China, tentu tidak ada seorang pun yang percaya malah saya mungkin diketawakan kerana tidak ada sebarang bukti.
Para sejarahwan Melayu terpaksa mengkaji ke serata dunia termasuk di China untuk mencari catatan-catatan sejarah bangsa lain yang ada menyebut tentang bangsa Melayu semata-mata untuk mengetahui tentang kisah silam.
Tanpa sejarah, saya terasa seperti hilang jati diri dan maruah.
Bila terpandang peta laluan pelayaran laksamana Cheng Ho (Zheng He) yang dipamerkan di taman budaya 10 dinasti yang mencatatkan nama-nama tempat seperti Kelantan, Pahang, Melaka, Brunei, Palembang dan Jawa dalam bahasa China saya jadi sayu dan terharu.
Ini kerana saya sedar melalui kehebatan dan kebijaksanaan orang-orang China yang meriwayatkan sejarah merekalah maka bangsa saya dapat mengumpulkan lebih banyak maklumat tentang hubungan diplomatik serta kisah-kisah pengembaraan orang-orang China di sekitar empayar Melayu pada zaman dahulu.
Saya teringat pernah membaca cerita tentang catatan pelayar China yang berkunjung dan berniaga di negeri saya iaitu Kelantan pada suatu masa dahulu. Dalam catatan tersebut ada menyebut bahawa orang China itu belayar menyelusuri sungai ke sebuah negeri yang diperintah oleh raja perempuan yang cantik jelita. Melalui catatan itu juga penulis cerita dapat membuat kesimpulan bahawa raja perempuan itu adalah salah seorang pemerintah kerajaan Kelantan pada dahulu kala.
Saya percaya dengan terus mengkaji catatan dan riwayat sejarah orang-orang China, mungkin akan menemukan lebih banyak kisah yang berkaitan dengan bangsa saya sendiri.
Mungkin satu hari nanti orang akan percaya jika saya kata bangsa Melayu hebat seperti bangsa China, dan jika itu terjadi, susah pasti saya akan bersyukur dan berterima kasih kepada orang-orang bijaksana China pada masa lampau yang mencatatkannya.