
Guoqiao Mixian yang bermaksud "mi beras merentasi jambatan", merupakan makanan istimewa di selatan provinsi Yunnan. Mi beras ini sudah bersejarah lebih seratus tahun dan menjadi popular di Kunming pada lebih 50 tahun yang lalu. Satu set sajian Guoqiao Mixian terdiri daripada mi beras yang dicelur hingga masak, sup, hirisan daging mentah dan perasa.
Asal Usul:
Kononnya, pada zaman Dinasti Qing (tahun 1636-1912), ada seorang xiucai (orang yang meluluskan peperiksaan diraja peringkat kaunti pada zaman Dinasti Ming dan Qing) yang sangat rajin belajar tinggal di sebuah pulau di tengah-tengah tasik di luar kota Mengzi, selatan Yunnan. Isteri xiucai itu selalu membawa mi beras ke pulau tersebut untuk suaminya. Namun, mi beras sudah sejuk ketika sampai. Pada suatu hari, si isteri kebetulan mendapati lapisan minyak ayam pada permukaan sup seperti tudung periuk yang membolehkan sup kekal panas. Si isteri berpendapat mi panas lebih enak daripada mi sejuk. Sejak itu, si isteri akan menyediakan sup menggunakan ayam, mencelur mi dan menghiris pelbagai ramuan di rumah terlebih dahulu. Sebelum makan, masukkan hirisan daging mentah ke dalam sup panas yang ditutupi lapisan minyak didih, lalu aduk sampai masak, seterusnya campur ramuan lain dan mi beras. Sejak itu, cara memasak ini ditiru oleh ramai orang. Oleh sebab si isteri perlu merentasi sebuah jambatan untuk pulau itu, makanan ini diberi nama Guoqiao Mixian.
Bahan:
daging dada ayam, daging ikan, sotong, ketumbar, bawang hijau dan telur puyuh masing-masing 20 gram; kacang pis, taugeh, cendawan masing-masing 50 gram; mi beras 200 gram.
Cara Masak:
1. Hiris semua bahan daging;
2. Celur seketika bahan yang lain dan potong;
3.Sediakan ketumbar dan bawang hijau yang dicencang halus, minyak cili dan mi beras yang sudah dicelur;
4. Campur minyak ayam dan sup yang mendidih dalam mangkuk;
5. Celur hirisan daging sehingga masak. Masukkan ke dalam mangkuk, diikuti sayur-sayuran dan mi beras. Akhirnya taburkan bawang hijau dan ketumbar yang dicencang halus.
Panduan Makan:
Guoqiao Mixian mempunyai cara memakan yang istimewa. Set sajian mi ini dihidangkan dengan empat mangkuk yang masing-masing disediakan hirisan daging mentah, sup ayam, sayur-sayuran dan mi beras. Pengunjung yang pertama kali mengembara ke Yunnan kadang-kadang ditertawakan orang tempatan sebab menganggap sup tanpa sebarang wap pada permukaannya yang ditutupi lapisan minyak itu tidak panas dan terus minum, yang menyebabkan bibir melecur. Jadi, jangan terus minum sup ayam meskipun ia nampak tidak panas.
| Ulasan |
![]() Xuexi, gua batu kapur yang terletak di sebelah utara pekan Chaotian, provinsi Sichuan, China, digelar "istana dewa di bawah bumi". Gua sepanjang lebih lapan kilometer yang tersembunyi di dalam hutan ini menawarkan pemandangan yang amat indah. |
| Lagi>> |