Pintu masuk Gunung Wangmang
Empat hari berlalu begitu pantas. Keletihan mengikuti program Kembara ke Jincheng ini tidak terasa kerana layanan baik pihak tuan rumah, khususnya Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar China Perbandaran Rakyat Jincheng, Encik Jia Changsheng dan semua pegawai beliau. Mereka berusaha memenuhi segala keperluan rombongan media CRI. Kerjasama kedua-dua pihak ini membolehkan semua aktiviti yang telah diatur berjalan lancar.
Hari ini kami meninggalkan bandar Jincheng untuk melihat sendiri teknologi sistem penahanan letupan yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, Shanxi Lanhua HS Suppression System Co. Ltd. Syarikat ini mengeluarkan mesin menahan letupan yang amat perlu bagi lombong arang batu. Berbeza dengan mesin buatan syarikat lain yang hanya melemahkan letupan akibat pengeluaran gas arang batu, mesin keluaran syarikat ini berupaya menahan sepenuhnya letupan. Walaupun tidak memahami sepenuhnya konsep penggunaan mesin ini, namun kepentingan mesin ini dalam industry perlombongan arang batu memang tidak dapat dinafikan. Apa yang utama, lawatan ini benar-benar membuka mata akan kemajuan teknologi di provinsi yang dahulunya kawasan miskin di China.
Bukan wanita namanya kalau tidak menyukai sutera. Apabila mengetahui lawatan ke kilang sutera merupakan salah satu agenda, hati begitu berbunga-bunga. Tak dapat beli, dapat memegang sendiri benang sutera dan produk sutera yang pastinya mahal itu pun sudah cukup bagi saya. Maklum saja, seumur hidup belum pernah berpeluang melihat benang sutera mentah. Perjalanan ke kilang sutera Syarikat Shanxi Jilier Co. Ltd. yang tidak jauh itu terasa begitu lama.
Dari luar, bangunan yang menempatkan pejabat, kilang dan bilik pameran ini begitu sederhana. Sebaik melangkah masuk, kami disambut dengan demonstrasi menenun benang dan kain sutera. Melihat benang sutera yang begitu halus dan lembut itu, terasa takut untuk menyentuhnya. Manalah tahu, kalau-kalau putus dek tangan kasar saya. Rupa-rupanya benang sutera amat kukuh walaupun halus. Bayangkan lima orang dewasa menarik benang sutera untuk dijadikan lapisan kuilt, namun tetap teguh tanpa putus. Ibarat wanita, walaupun lemah lembut dan halus namun kuat dan tabah.
Gunung Wangmang
Syarikat yang sudah berusia lebih 40 tahun ini sudah melalui jatuh bangun dalam industri ini. Malah pernah mengalami kejatuhan yang amat teruk semasa Perang Dunia Kedua. Melalui projek "Pemindahan Penanaman Ulat Sutera dari Timur Ke Barat", syarikat ini bangkit menjadi salah sebuah gergasi dalam industri produk sutera. Produk utama syarikat ini termasuklah bahan mentah semula jadi seperti sutera, gentian hem dan sebagainya. Kerja-kerja menenun kain, proses mewarna, mereka bentuk serta pengeluaran pakaian serta tekstil dilakukan di kilang ini.
Kini, jenama Jilier yang membawa maksud "Membuat Anda Rasa Berharga" sudah menjadi jenama terkenal di China. Syarikat ini menggabungkan kemahiran tradisional dan teknologi moden. Reka bentuk corak pada kain sutera dibuat oleh pereka menggunakan teknologi moden namun tenunan, dan lukisan corak pada kain tersebut merupakan buatan tangan yang amat halus.
Dengan jumlah pekerja kira-kira 500 orang dan pendapatan RM80,000,000 setahun, Syarikat Jilier turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial Jincheng, sekali gus menyumbang kepada usaha mencapai matlamat Jincheng menjadi bandar terhebat di China.
Hujan renyai-renyai mendinginkan suasana perjalanan kami ke destinasi seterusnya iaitu kaunti Lingchuan. Kalau anda pernah mendengar cerita atau membaca tentang jalan raya sempit di bawah gunung, inilah tempatnya. Saya pernah melihat gambar jalan raya sempit tersebut tahun lalu dan siapa sangka, hari ini saya berada di kampung tersebut , kampung Xiyagou.
Kampung Xiyagou, salah sebuah kampung tercantik di Jincheng terletak di tenggara kaunti Lingchuan dan bersempadan dengan kaunti Hui di provinsi Henan. Kampung ini dikelilingi gunung-ganang yang diselimuti kabus hampir 100 hari dalam setahun dan sungai-sungai. Saya terasa berada dalam filem "Forbidden Kingdom" lakonan Jackie Chan dan Jet Li sahaja apabila berada di Gunung Wangmang yang ketinggiannya membolehkan kita menggapai awan.
Berbalik tentang kampung ini, kampung Xiyagou amat istimewa kerana semangat juang penduduk kampung tersebut membina jalan raya untuk menghubungkan kampung berkenaan dengan dunia luar. Melihat gunung-ganang yang tinggi menegak itu memang sukar digambarkan bagaimana mereka berjaya merintis pembinaan jalan raya itu menggunakan tulang empat kerat tanpa peralatan yang canggih yang biasa digunakan untuk membina jalan raya. Bayangkan mengetuk, mengangkut dan membina jalan raya di bawah gunung batu menggunakan tangan dan alat yang amat asas, tukul besi dan tali. Usaha yang diketuai Ketua Kampung Xiyagou yang bernama Dong Huai Yuan dan dimulakan pada tahun 1962 hingga 1979 tersebut gagal sebanyak dua kali. Tanpa putus asa, kerana menyedari kepentingan jalan raya, beliau memulakan projek itu sekali lagi pada tahun 1982 dengan bantuan Song Zhi Long, bekas askar yang kembali ke kampung selepas tamat perkhidmatan. Jalan raya tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1991. Namun malangnya, Dong Huai Yuan meninggal dunia dalam kemalangan semasa membina fasa terakhir jalan raya itu. Hari ini, saya berpeluang berjabat tangan dengan Song Zhi Long, yang kini menjadi ketua kampung Xiyagou. Terasa semangat juang masih membara dalam diri insan yang begitu sederhana itu. Memang amat istimewa kerana jalan raya itu dibina dengan keringat, air mata dan darah penduduk kampung Xiyagou. Pengalaman ini begitu berkesan bagi diri saya dan mengajar saya bahawa untuk berjaya, berusahalah tanpa terlalu mengharap bantuan orang lain.
Tepat sekali ungkapan, jauh berjalan luas pandangan. Walaupun singkat dan serba tergesa-gesa, lawatan ke Jincheng ini amat memberi pengalaman baharu yang amat bermanfaat bukan sahaja untuk perkongsian pengetahuan pembangunan, malah turut membuka mata bahawa dunia ini amat luas. Peluang untuk berjaya terbentang luas asalkan ada kemahuan.
Ulasan |
Xuexi, gua batu kapur yang terletak di sebelah utara pekan Chaotian, provinsi Sichuan, China, digelar "istana dewa di bawah bumi". Gua sepanjang lebih lapan kilometer yang tersembunyi di dalam hutan ini menawarkan pemandangan yang amat indah. |
Lagi>> |