Masjid Qingdao, Mutiara di Tepi Laut Kuning China
2011-11-10 13:25:27 CRI

Bandar Qingdao, provinsi Shandong China merupakan bandar yang mempunyai pemandangan alam sekitar yang sangat indah, ini mungkin disebabkan kedudukan bandar tersebut yang berhampiran Laut Kuning. Bangunan-bangunan yang pelbagai rupa bentuk dibina di pesisir pantai. Ramai pelancong yang tertarik untuk tinggal di Qingdao selama beberapa hari semasa musim cuti.

Terdapat sebuah bangunan dengan ciri-ciri Arab di No. 562 Jalan Tong'an. Lima kubah yang berwarna hijau kelihatan berkilauan dalam cahaya suria. Terdapat dua buah menara azan yang kelihatan seolah-olah hampir menyentuh awan. Bangunan yang sungguh menarik perhatian itu ialah Masjid Qingdao yang diberikan reputasi sebagai mutiara di tepi Laut Kuning China.

Qingdao merupakan sebuah bandar raya pelabuhan antarabangsa walaupun ia hanya diwujudkan selama lebih seratus tahun sahaja. Umat Islam mula berhijrah ke Qingdao selepas landasan kereta api Jiaoji yang menyambungkan bandar Jinan dan bandar Qingdao mula beroperasi pada tahun 1904 yang menghubungkan Semenanjung Jiaodong dengan kawasan dalaman. Dua adik beradik He menguruskan perniagaan mereka di Shandong pada tahun 1928 dan akhirnya membina rumah mereka di Qingdao. Mereka merupakan orang Islam etnik Hui yang terawal di Qingdao. Ma Fuxiang, raja perang di bahagian barat laut China yang merupakan seorang Islam etnik Hui yang berjaya menyandang jawatan datuk bandar Qingdao pada tahun 1929. Ramai di kalangan pengiringnya dan keluarganya yang juga penganut Islam berhijrah ke Qingdao. Dengan sokongan Ma Fuxiang, Imam Wang Wanying dan Mu Huating yang menjalankan aktiviti mengumpulkan wang derma sebagai modal untuk membina masjid bagi semua penganut Islam di bandar ini. Mereka membeli sebuah bangunan seluas 888 meter persegi di Jalan Changzhou dan mengubahsuai bangunan tersebut menjadi sebuah masjid. Di tingkat atas masjid ini ialah dewan solat, manakala tingkat bawah dijadikan pejabat, bilik mesyuarat, kantin dan kemudahan-kemudahan lain. Masjid tersebut merupakan satu-satunya masjid di bandar Qingdao pada masa itu dan telah beroperasi selama hampir 80 tahun.


1 2 3
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China