Cari:
China Memikul Tanggungjawab yang Semakin Berat di Arena Antarabangsa
2008-12-12 18:09:01 CRI Cetak

Sejak China melaksanakan dasar pintu terbuka dan pembaharuan pada tahun 1978, ekonomi dan masyarakat negara ini telah berkembang pesat. Kedudukan China di arena antarabangsa juga semakin meningkat. Dengan itu juga, China telah melibatkan diri dalam urusan antarabangsa dengan sikap yang lebih aktif, dan telah memikul tanggungjawab yang semakin berat di arena antarabangsa.

"China merupakan anggota masyarakat antarabangsa. Kami sentiasa bersikap bertanggungjawab dalam menangani urusan antarabangsa. Di samping itu, China merupakan negara membangun, jadi ia tidak boleh melaksanakan tanggungjawab antarabangsa yang melebihi kemampuannya. Tanggungjawab antarabangsa yang kami pikul ini juga bukan bertujuan memenuhi kehendak sesebuah negara ataupun kelompok negara tertentu, justeru ia juga tidak boleh ditentukan menurut standard mereka."

Menteri Luar China, Yang Jiechi berkata demikian dalam sidang akhbar pada 12 Mac yang lalu. Ucapan beliau itu telah menjelaskan tanggungjawab antarabangsa bagi China.

Hubungan China dengan luar negara telah mengalami perubahan yang agak besar selepas dasar pintu terbuka dan pembaharuan dilaksanakan. Dalam proses itu, China menjadi lebih yakin pada diri sendiri dan bersikap terbuka untuk mewujudkan hubungan yang erat dengan masyarakat antarabangsa. Setakat ini, China telah memeterai kira-kira 300 buah konvensyen antarabangsa, dan menganggotai lebih 100 pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China telah membayar pelbagai perbelanjaan PBB tepat pada waktunya, giat berusaha untuk memelihara keamanan dan keadilan antarabangsa, menentang hegemonisme, dan berpegang pada prinsip dan pendirian untuk menyelesaikan perselisihan antarabangsa melalui rundingan secara damai. Selain itu, China juga giat memelihara kepentingan negara-negara membangun dan berusaha untuk mewujudkan order baru antarabangsa yang adil dan rasional.

Bermula pada tahun 1990, China telah beberapa kali menghantar pemerhati ketenteraan untuk menyertai misi pengaman PBB di Kemboja, Haiti, Congo, Sudan dan Lubnan. Setakat bulan Oktober 2007, China telah menyertai 17 misi pengaman dan merupakan negara yang paling banyak menghantar anggota pengaman antara lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Selain itu, China juga aktif dalam operasi penyelamatan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa. Sebelum tahun 1978, China telah banyak menghantar pasukan perubatan dan juruteknik untuk membantu dalam pembangunan di negara-negara Afrika. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, China juga aktif menyertai operasi penyelamatan untuk mengangani bencana alam di luar negara, seperti gempa bumi yang berlaku di Algeria pada bulan Mei 2003, dan tsunami di Lautan Hindi yang berlaku pada bulan Disember tahun 2004.

Di samping itu, kerajaan China juga memenuhi kewajipan dan bersikap aktif dalam menghadapi pelbagai isu seperti pemanasan global dan perubahan iklim.

Dengan terlaksananya dasar pintu terbuka dan pembaharuan selama 30 tahun, ekonomi China semakin kukuh. Hubungan China dengan negara-negara luar semakin erat. Peranan China dalam menangani urusan antarabangsa juga semakin penting. Dengan itu, masyarakat antarabangsa telah mengemukakan tuntutan yang baru kepada China supaya negara ini memenuhi tanggungjawab dan kewajipan yang lebih besar di arena antarabangsa.

Akan tetapi, China tetap merupakan negara membangun yang populasinya mencatat angka 1.3 bilion orang. Negara ini juga menghadapi pelbagai masalah domestik, seperti kemiskinan. Maka, kemampuan China adalah terhad.

Kini, tugas yang paling utama bagi China adalah mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan memelihara kestabilan masyarakat dalam negara. Di samping itu, China juga akan terus memainkan peranan untuk memelihara keamanan serantau, dan mewujudkan order baru antarabangsa yang adil dan rasional dalam bidang politik dan ekonomi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China