Cari:
ASEAN Menuju ke Pertubuhan Serantau yang Lebih Berpengaruh
2009-01-07 10:35:34 CRI Cetak

Tahun 2008 yang baru berlalu dianggap sebagai tahun yang penting dalam proses pembangunan ASEAN. Penguatkuasaan Piagam ASEAN dan mekanisme dalaman yang semakin sempurna akan membantu proses integrasi ASEAN dan membolehkannya memainkan peranan yang lebih besar dalam urusan politik, ekonomi dan keselamatan di kawasan serantau, malah seluruh dunia.

Piagam ASEAN yang berkuatkuasa pada 15 Disember lalu dianggap sebagai satu penanda penting dalam sejarah ASEAN, terutamanya bagi proses integrasi ASEAN kerana ia menyediakan asas daripada aspek undang-undang kepada pembinaan Komuniti ASEAN.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan bahawa Piagam ASEAN itu akan memberikan satu platform undang-undang kepada kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN, dan berfaedah bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi di rantau itu dan mempergiat pertukaran antara negara-negara anggota dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.

Integrasi ekonomi merupakan langkah pertama dalam proses pembinaan Komuniti ASEAN. Dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN yang diadakan pada bulan Mei tahun lalu, negara-negara anggota telah mengadakan perbincangan tentang pelaksanaan pelan biru tentang pembinaan komuniti ekonomi ASEAN. Setiausaha Agung pertubuhan serantau itu, Dr. Surin Pitsuwan dalam mesyuarat tersebut menegaskan, integrasi perdagangan tetap sebagai kunci utama bagi pertumbuhan ekonomi negara anggota dan mampu menerajui proses pembinaan komuniti ekonomi ASEAN. Oleh yang demikian, ASEAN berharap perdagangan secara bebas antara negara anggota dapat dicapai menjelang tahun 2015.

Dalam tahun 2008 pula, ASEAN telah menyelesaikan penggubalan pelan biru tentang komuniti dalam bidang keselamatan, politik, kebudayaan sosial serta pelan tindakan fasa kedua dalam proses integrasi ASEAN. Menurut jadual, dokumen-dokumen tersebut akan diluluskan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 yang akan diadakan pada bulan Februari tahun 2009.

DI samping itu, ASEAN juga giat berusaha untuk menyempurnakan mekanisme dalaman supaya lebih bersesuai dengan Piagam ASEAN. Negara-negara anggota menyedari bahawa badan-badan di bawah Sekretariat ASEAN yang sedia ada sudah tidak mampu menjayakan usaha-usaha yang semakin luas pada masa akan datang. Oleh yang demikian, negara anggota bersetuju untuk menubuhkan beberapa badan baru di bawah Sekretariat ASEAN, termasuk Majlis Penyelaras yang terdiri daripada menteri-menteri luar, tiga majlis eksekutif yang mengendalikan hal ehwal politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, serta badan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kemanusiaan. Di samping itu, negara-negara anggota bersetuju untuk meningkatkan peranan yang dimainkan oleh Sekretariat ASEAN dan memutuskan untuk menghantar duta besar masing-masing ke Sekretariat yang beribu pejabat di Jakarta.

Langkah-langkah yang menyasarkan matlamat integrasi ASEAN itu bukan sahaja telah meningkatkan prestasi pertubuhan tersebut di persada antarabangsa, malah menjadikan banyak negara dan pertubuhan antarabangsa menyedari pentingnya ASEAN. Kini, A.S., Australia, New Zealand dan Jepun menyatakan hasrat untuk menghantar duta besar masing-masing ke Sekretariat ASEAN.

Pada tahun 2008, ASEAN aktif mengambil bahagian dalam kerjasama antarabangsa dan memainkan peranan yang semakin penting di kawasan serantau, malah seluruh dunia. ASEAN telah mengadakan kerjasama yang erat dengan pertubuhan antarabangsa dalam usaha menangani bencana taufan Nargis yang melanda Myanmar. Perkara ini telah mendapat pujian daripada pelbagai negara di dunia dan meningkatkan prestasi ASEAN di peringkat antarabangsa.

Menerusi kerjasama dengan negara-negara di kawasan Asia-Pasifik pula, ASEAN telah mempergiat kerjasama dengan China, Jepun dan Republik Korea dengan mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri yang diadakan dalam rangka "10+3", dan menandatangani perjanjian kerjasama dengan ketiga-tiga negara dalam perdagangan kargo, perdagangan perkhidmatan, pelaburan, kewangan, media dan pengangkutan. Pada bulan Jun lalu, ASEAN telah menggerakkan rancangan kerjasama dengan Australia pada fasa kedua. Menurut rancangan tersebut, Australia akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak 57 juta dolar Amerika sebagai sokongan kepada usaha integrasi ekonomi ASEAN.

Pembantu Khas kepada Setiausaha Agung ASEAN, Termsak Chalermpalanupap menyatakan bahawa "kini keutamaan usaha ASEAN telah beralih kepada pembinaan komuniti. Menurut pandangan penganalisis bahawa ASEAN dijangka menyebarkan pengaruh yang lebih besar terhadap kawasan serantau, malah seluruh dunia berikutan proses integrasinya dan peningkatan hubungan kerjasama dengan pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China