Cari:
China akan Mendorong Pembangunan Industri Pertanian dan Meningkatkan Pendapatan Kaum Tani
2009-02-02 17:15:31 CRI Cetak

Kerajaan China semalam telah mengeluarkan "dokumen No. 1" kerajaan pusat tahun 2009 yang memfokuskan kepada pembangunan industri pertanian, desa dan kaum tani. Pegawai yang berkenaan menegaskan bahawa mengekalkan pengeluaran pertanian yang stabil serta meningkatkan pendapatan kaum tani secara berterusan merupakan tugas yang paling mendesak bagi kerajaan China dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Dokumen yang berjudul: "Beberapa Perintah Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Dewan Negara mengenai Pembangunan Industri Pertanian yang Stabil dan Peningkatan Pendapatan Kaum Tani yang Berterusan Tahun 2009" itu merupakan "dokumen No. 1" yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat yang menumpu kepada pembangunan pertanian desa, dan kaum tani bagi tahun keenam secara berturut-turut.

Dalam sidang akhbar yang diadakan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Kumpulan Pemimpin Usaha Membangunkan Desa Pusat, Encik Chen Xiwen menyatakan bahawa krisis kewangan yang melanda dunia sekarang ini juga melahirkan impak negatif terhadap pembangunan pertanian dan desa di China.

"Yang pertama, harga merupakan unsur rangsangan yang kuat bagi kaum tani untuk meningkatkan pengeluaran pertanian. Krisis kewangan ini telah mengakibatkan harga hasil pertanian menurun, maka, ia memberikan kesan negatif kepada pengeluaran pertanian di China. Yang kedua, sesetengah pekerja dari desa menjadi penganggur akibat krisis kewangan ini dan terpaksa balik ke kampung. Unsur ini telah menggugat peningkatan pendapatan kaum tani. Maka, tugas yang paling mendesak bagi kita adalah untuk mengatasi impak negatif ekoran krisis kewangan global dan mengekalkan pembangunan pertanian yang stabil serta peningkatkan pendapatan kaum tani pada tahun ini," kata beliau.

Encik Chen Xiwen menyatakan bahawa menurut "dokumen No. 1" tersebut, kerajaan akan terus meningkatkan peruntukan bagi membangunkan industri pertanian, desa dan kaum tani. Selain menambah subsidi pertanian, kerajaan pusat akan meningkatkan harga minimun bagi bahan makanan, meningkatkan rizab bahan makanan, minyak dan daging, serta memperkukuh sokongan kewangan kepada kawasan penghasilan pertanian yang utama bagi menjamin peningkatan pendapatan kaum tani.

Menurut stasistik, seramai 20 juta orang pekerja migran dari desa menjadi penganggur ekoran kemelesetan ekonomi sekarang. Jumlah itu mewakili kira-kira 15% daripada jumlah pekerja golongan itu di seluruh negara. Encik Chen Xiwen menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil pelbagai tindakan untuk membantu mereka mendapatkan peluang bekerja.

"Pertama, kerajaan akan menggalakkan supaya syarikat-syarikat di bandar dan kawasan yang ekonominya maju tidak atau kurang membuang pekerja migran dari desa. Kedua, kerajaan akan menyediakan lebih banyak latihan vokasional bagi pekerja dari desa. Ketiga, projek pembinaan kemudahan awam akan mengambil pekerja dari desa sebanyak yang mungkin. Keempat, kerajaan akan membantu pekerja dari desa untuk memulakan kerjaya mereka sendiri."

"Dokumen No. 1" itu juga menekankan usaha untuk menjamin kestabilan masyarakat dan keselamatan di desa. Encik Chen Xiwen menyatakan bahawa kerajaan akan menyelesaikan dengan baik masalah yang berkaitan dengan kepentingan petani, dan melindungi hak dan kepentingan kaum tani.

" 'Dokumen No. 1' itu jelas menegaskan peri pentingnya untuk memelihara kestabilan masyarakat di desa, menyelesaikan secara baik masalah sensitif seperti pengambilan tanah pertanian, pencemaran alam sekitar dan pemindahan penduduk desa secara undang-undang. Sekiranya berlaku persengketaan yang besar-besaran, pegawai pelbagai peringkat diminta menyelesaikan masalah tersebut dengan cara menasihati mereka yang terlibat, dan tidak boleh menggunakan tenaga polis melainkan berlaku rusuhan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China