Cari:
Sektor Pelancongan Mendorong Pertumbuhan Ekonomi Tibet
2009-03-27 17:16:31 CRI Cetak

Wilayah Autonomi Tibet mempunyai sejarah, budaya dan pemandangan alam yang amat unik. Wilayah itu turut menjadi destinasi yang menarik bagi pelancong dari seluruh dunia. Sejak China mula mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, khususnya setelah landasan kereta api Qinghai-Tibet mula beroperasi, sektor pelancongan di Tibet kian maju dan dapat mengembangkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di wilayah tersebut. Pelancong tertarik dengan peninggalan sejarah yang lama, pemandangan alam yang indah serta kraf tangan yang unik di Tibet. Permaidani merupakan kraf tangan yang terkenal di Tibet. Penolong Pengarah Kilang Permaidani Daerah Chengguan bandar Lhasa, Dekyi Drolkar berkata bahawa jumlah pelancong yang melawat Tibet sekarang kian ramai. Mereka amat tertarik dengan permaidani Tibet yang agak unik itu. Katanya, "Permaidani Tibet betul-betul dibuat dengan tangan dan menggunakan bulu kambing yang berkualiti tinggi. Selain itu, reka bentuk permaidani Tibet juga amat cantik dan semakin moden."

Industri pembuatan kraf tangan tradisional Tibet kian maju ekoran perkembangan sektor pelancongan di wilayah itu. Menurut statistik, Tibet mempunyai beberapa ratus syarikat pengeluar kraf tangan tradisional, dan nilai pengeluaran syarikat tersebut mencatat beberapa ratus juta yuan RMB pada setiap tahun. Kraf tangan dari Tibet mendapat sambutan yang baik dalam pasaran di dalam dan luar negara.

Hotel swasta di Tibet juga kian maju ekoran perkembangan sektor pelancongan di wilayah tersebut. Contohnya, hotel Tenzin yang mula beroperasi pada tahun 1986. Sekarang ini, hotel tersebut amat terkenal dalam kalangan pelancong dari negara luar dan sering disebut dalam risalah pelancongan di seberang laut.

Pengurus hotel itu, Sodron berkata, ketika China baru melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, pelancong yang melawat Tibet sudah kian ramai. Bapanya berhasrat membuka sebuah hotel, katanya, "Ayah saya merupakan seorang saudagar dan selalu berdagang dengan Nepal. Beliau hendak membuka sebuah hotel."

Hotel milik bapa Sodron merupakan hotel swasta yang paling awal dibuka di Tibet. Hotel itu terus mendapat sambutan yang baik daripada pelancong dari dalam dan luar negara. Pada masa sekarang, hotel swasta di Tibet sudah semakin banyak. Namun Hotel Sodron berjaya menarik pelancong dari A.S., Jepun, Republik Korea dan New Zealand kerana ia menyediakan perkhidmatan yang amat unik dan memuaskan.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan pelancongan ekologi dan budaya kalangan rakyat telah mendatangkan faedah kepada kaum tani dan penternak di Tibet. Kampung Namse di kawasan Nyingchi amat miskin pada masa dahulu. Pada pertengahan tahun 1990-an, kerajaan menggalakkan penduduk di kampung itu menanam pokok dan berusaha mengembangkan sektor pelancongan ekologi. Naib Penghulu kampung itu, Nyima berkata, "Lokasi kampung kami amat sesuai untuk menarik pelancong. Penduduk kampung kami berusaha menguruskan sektor pelancongan tani, restoran, perkhidmatan dan kraf tangan. Sekarang, kira-kira 70% pendapatan kampung kami adalah dari sektor pelancongan."

Pada masa sekarang, sektor pelancongan telah menjadi tonggak perkembangan ekonomi di Tibet. Walaupun rusuhan yang berlaku pada 14 March tahun lalu telah menjejaskan sektor pelancongan di wilayah itu, tetapi ia pulih dengan amat pesat pada tahun ini. Menurut statistik, sejumlah lebih 120 ribu orang pelancong dari dalam dan luar negara melawat Tibet pada bulan Januari dan Februari yang lalu. Jumlah tersebut meningkat 4.8% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Jumlah pendapatan sektor pelancongan dalam tempoh tersebut mencatat angka lebih 99 juta yuan RMB.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China