Sidang Kemuncak Kewangan Kumpulan 20 (G20) Ke-2 akan diadakan di London pada 2 April nanti. Pelbagai negara, kini menumpukan perhatian kepada sidang kemuncak kali ini, dan berharap ia dapat menyumbang kepada usaha menangani krisis kewangan global. Sebagai tuan rumah sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown baru-baru ini menyatakan, bahawa China dianggap sebagai peserta yang amat penting dalam sidang kemuncak kali ini. Menurut pakar berkenaan, selaku penjana utama kepada pertumbuhan ekonomi sejagat, China akan memainkan peranan yang sewajarnya dan mempergiat kerjasama antarabangsa dalam menangani tempias krisis kewangan global itu.
Ketika menyebut harapan pihak China terhadap sidang kemuncak kali ini, Nabi Menteri Luar China, He Yafei berkata: "Pertama, negara-negara yang terlibat diharapkan berusaha untuk meningkatkan perpaduan dan membantu memulihkan keyakinan; kedua, negara-negara tersebut diharapkan akan mengemukakan rancangan rangsangan ekonomi berdasarkan keadaan masing-masing dan mempergiat penyelarasan terhadap dasar ekonomi makro; ketiga, masyarakat antarabangsa sepatutnya menjalankan pembaharuan secara berkesan terhadap sistem kewangan yang sedia ada, khususnya meningkatkan kuasa ekonomi baru dan negara-negara membangun di peringkat antarabangsa; keempat, pelbagai negara patut bertindak menentang perlindungan perdagangan, dan berusaha mendorong Rundingan Pusingan Doha mencapai kemajuan secara menyeluruh; kelima, masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya mengurangkan bantuan kepada negara-negara membangun akibat dilanda krisis kewangan. "
Kenyataan Naib Menteri Luar China itu memperlihatkan hasrat China untuk mempergiat kerjasama antarabangsa dalam usaha menangani krisis kewangan global. Pakar isu antarbangsa China, Prof. Zhang Shengjun dari Universiti Perguruan Beijing berkata: "Dalam sidang kemuncak ini, China boleh memainkan peranan yang bersifat membina dalam menyelaraskan dasar ekonomi makro."
Gabenor Bank Rakyat China, Zhou Xiaochuan sebelum ini mencadangkan supaya diterbitkan sejenis mata wang yang baru bagi simpanan kewangan antarabangsa. Cadangan itu mendapatkan sambutan baik daripada beberapa buah negara anggota seperti Rusia dan Brazil, serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ketika menyebut cadangan Gabenor Bank Rakyat China itu, Prof. Han Fuling dari Akademi Kewangan Pusat berkata: "Seiring dengan peningkatan kekuatan China dalam bidang ekonomi, China sepatutnya diberi peranan dalam menggubal peraturan tentang isu kewangan antarabangsa, tidak hanya menyertai sahaja sperti pada masa-masa dahulu. Kini, China mempunyai rizab mata wang asing dengan jumlah yang paling besar, iaitu 2000 bilion dolar Amerika. Oleh itu, China patut bersuara, bukan sahaja untuk kepentingan sendiri, malah untuk perkembangan sistem kewangan antarabangsa."
Menurut Prof. Zhang Shengjun, China patut memainkan peranan yang selaras dengan kekuatan sendiri dalam usaha menangani krisis kewangan sejagat. Kata beliau: "China sepatutnya meningkatkan prestasinya dalam pertubuhan antarabangsa, terutamanya dari segi mengeluarkan pandangan sendiri dan menetapkan peraturan. Walau bagaimanapun, China perlu mengambil kira keupayaan sendiri ketika memberikan sumbangan kepada usaha menangani krisis kewangan antarabangsa. Pada pandangan saya, China tidak berkemampuan untuk menyelamatkan seluruh dunia daripada krisis pada masa ini."