Cari:
Persidangan Pemimpin Asia Timur Sediakan Platform untuk Tangani Krisis Kewangan
2009-04-09 14:47:44 CRI Cetak

Persidangan pemimpin Asia Timur yang akan memberikan fokus kepada topik tentang kaedah menangani krisis kewangan global akan diadakan di kawasan peranginan Pattaya, timur Thailand mulai 10 hingga 12 April ini. Umum berpendapat bahawa persidangan kali ini menyediakan satu platform bagi pelbagai pihak untuk menangani krisis tersebut selepas berakhirnya Sidang Kemuncak G20 di London baru-baru ini.

Agenda persidangan ini mencakupi Sidang Pemimpin ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea Ke-12, Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-4, Majlis Sarapan Pemimpin China-Jepun-Repulik Korea, Sidang Pemimpin China-ASEAN Ke-12, Sidang Pemimpin ASEAN-PBB Ke-3, serta Sidang Pemimpin ASEAN-Jepun dan Republik Korea. Menurut maklumat dari Kementerian Luar Thailand, ketua-ketua negara dari negara-negara anggota ASEAN, China, Jepun, Republik Korea, Australia dan New Zealand akan menghadiri persidangan tersebut. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon serta pegawai-pegawai kanan dari Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Asia dan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) juga akan hadir dalam aktiviti ini.

Persidangan kali ini bertemakan "Bertindak Bersama untuk Hadapi Cabaran Global". Pendekatan menangani krisis kewangan merupakan topik perbincangan utama dalam persidangan tersebut. Antaranya, Sidang Pemimpin ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea Ke-12 dijangka akan membuat keputusan penting tentang usaha meningkatkan rizab tukaran asing serantau. Berdasarkan Pelan Tindakan Asia tentang Kestabilan Ekonomi dan Kewangan yang dikeluarkan pada bulan Februari yang lalu, skop rizab itu akan diperluas ke tahap 120 bilion USD daripada 80 bilion USD. Kini, rundingan tentang pembinaan rizab tersebut sedang dipergiatkan. Di samping itu, usaha membina pasaran bon di Asia yang bertujuan untuk meningkatkan kecairan pasaran serantau juga akan digalakkan. Para peserta dijangka mengeluarkan beberapa pengumuman atau mengemukakan beberapa cadangan mengenai penyelarasan tindakan dalam menangani krisis kewangan ini.

Menentang perlindungan perdagangan merupakan satu lagi topik perbincangan dalam persidangan ini. Disebabkan krisis kewangan mengakibatkan pasaran eksport utama di Eropah dan A.S. semakin merosot, maka banyak entiti ekonomi di rantau Asia Timur mengalami tamparan yang hebat. Manakala amalan perlindungan perdagangan yang menjadi semakin meluas kini pula pasti akan menyebabkan kesan krisis kewangan ini bertambah buruk. Duta Besar China ke ASEAN, Xue Hanqin, menyatakan bahawa China dan ASEAN akan menandatangani perjanjian pelaburan dalam persidangan kali ini. Ini membuktikan bahawa rundingan tentang pembinaan zon perdagangan China-ASEAN telah selesai dibincangkan, dan zon itu akan wujud pada waktu yang dijadualkan.

Perdana Menteri China, Wen Jiabao akan menyampaikan ucapan dalam persidangan tersebut untuk membentangkan pendirian China tentang peningkatan kerjasama yang pragmatik antara rantau Asia Timur dan kaedah menangani krisis kewangan global. Beliau juga akan menemui beberapa ketua negara semasa berlangsungnya persidangan itu. Penolong Menteri Luar China, Hu Zhengyue menyatakan kepada media asing bahawa China penuh yakin dan berazam untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tentang kaedah memulihkan keyakinan negara-negara Asia, cara menjayakan kerjasama yang pragmatik antara rantau Asia Timur, dan pendekatan menangani krisis kewangan antarabangsa sehingga hasil yang memuaskan tercapai.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China