Beberapa ribu orang penunjuk perasaaan dari Perikatan Demokrasi Menentang Diktator (DAAD) telah menyerbu masuk ke Pusat Media Sidang Kemuncak ASEAN kelmarin, dan bertempur dengan polis tentera, mengakibatkan Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan terpaksa dibatalkan. Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan perintah darurat di Bangkok dan kawasan sekitarnya semalam.
Inilah kali pertama penunjuk perasaaan menyerbu masuk ke ruang sidang antarabangsa di negara tersebut. Peristiwa tersebut bukan sahaja menjadikan citra negara Thailand terjejas, malah memberikan tamparan yang hebat kepada kegiatan pelancongan, perdagangan dan pelaburan. Pakar Hal Ehwal Asia Tenggara dari Institut-Institut Hubungan Antarabangsa Kontemporasi China, Zhang Xuegang berpendapat, bahawa konflik antara puak penyokong Thaksin Shinawatra dengan puak yang menentangnya semakin sengit beberapa tahun kebelakangan ini. Tunjuk perasaan kali ini merupakan ekoran konflik tersebut. Menurut analisis beliau,
"Sejak tahun 2006, dasar pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan oleh Thaksin memberikan manfaat kepada kaum tani, tetapi menjejaskan kepentingan golongan menengah dan atasan. Oleh itu, golongan menengah dan atasan bersama-sama menentangnya. Kerajaan Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa bersenjata pada tahun 2006. Namun, dalam pilihan raya yang diadakan di Thailand pada akhir tahun 2007, parti pro-Thaksin berjaya memegang kembali kuasa. Puak penentang sekali lagi melancarkan tindakan untuk menggulingkan kerajaan pro-Thaksin, dan memilih Abhisit Vejjajiva sebagai Perdana Menteri. Sidang Kemuncak yang dianjurkan oleh kerajaan Abhisit kali ini dipandang sebagai peluang yang baik bagi puak pro-Thaksin untuk mengambil tindakan balas. Tujuan utama mereka ialah untuk memalukan dan memberikan tekanan kepada kerajaan Abhisit, supaya Abhisit digulingkan dan pilihan raya diadakan semula, dan Thaksin memegang kuasa sekali lagi. Peristiwa tersebut hampir mencapai tujuannya dan berjaya menarik perhatian masyarakat antarabangsa."
Menurut Zhang Xuegang, tunjuk perasaan tersebut telah mengakibatkan penangguhan Sidang Kemuncak ASEAN. Malah yang lebih besar ialah kesan buruknya terhadap Thailand, integrasi ASEAN dan kerjasama ekonomi Asia Timur.
"Kesannya terhadap Thailand amatlah besar. Pergolakan yang berterusan di dalam negeri merupakan kesan yang besar yang mengancam kestabilan politik. Sepatutnya Thailand sudah memasuki musim pelancongan besar-besaran bermul sekarang, tapi berlakunya perisitiwa tersebut menjadi tamparan yang hebat terhadap ekonomi negaranya, terutamanya dalam bidang pelancongan. Kerugian dalam bidang pelancongan di Thailand pada tahun 2009 dijangka mencatat angka 200 bilion Thai Baht, iaitu kira-kira 5 hingga 6 bilion dolar Amerika.
Selain itu, kesannya terhadap ASEAN juga amat besar. ASEAN telah mengeluarkan "Piagam ASEAN" beberapa tahun yang lalu. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Mac tahun ini, 10 buah negara Asia Tenggara mengemukakan Peta Garisan untuk membangunkan komuniti berdasarkan piagam tersebut. Sekaranglah masa yang penting bagi integrasi ASEAN. Sebagai pengerusi bergilir ASEAN, Thailand memikul tanggungjawab penting untuk mengadakan siri sidang ASEAN dan menyelaraskan kerjasama dalaman ASEAN. Berlakunya pergolakan politik ini membawa kesan negatif terhadap kerjasama serantau, dan juga terhadap integrasi ASEAN.
Kerjasama ekonomi Asia Timur juga mengalami kesan yang negatif, tetapi secara tidak langsung. Dalam sidang kemuncak kali ini, negara-negara anggota ASEAN serta China, Jepun dan Republik Korea dijadualkan akan membincangkan isu kerjasama kewangan, terutamanya penubuhan rizab khas mata wang Aisa Timur dan meningkatkan jumlah rizab itu hingga 120 bilion dolar Amerika. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN+6 pula, para peserta akan membincangkan kebaikan meningkatkan kerjasama keselamatan bukan konvensional. Perisytiharan yang akan dikeluarkan dan kata sepakat yang mungkin dicapai juga akan dipengaruhi oleh keadaan ini.
Selepas Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog dibatalkan, penunjuk perasaan antikerajaan Thailand mengumumkan kemenangan mereka dan menyatakan bahawa pihak mereka akan meneruskan perjuangan di ibu negara hinggalah Abhisit digulingkan. Menurut Zhang Xuegang, sama ada mereka dapat mencapai matlamat itu atau tidak masih perlu diperhatikan.
"Bagi kerajaan Abhisit, mereka tidak mahu tunduk kepada kumpulan antikerajaan. Absisit telah mengumumkan akan menghukum penunjuk perasaan tersebut. Namun, ketiadaan keyakinan, pertikaian yang sengit dan ketiadaan kompromi antara kedua-dua pihak mengakibatkan situasi politik negara tersebut terjadi seperti yang ada hari ini. Jika kerajaan mengambil tindakan yang keras terhadap penunjuk perasaan dan pengikut Thaksin dalam tindakan selanjutnya, konflik antara kedua-dua pihak akan bertambah sengit. Jika pertikaian serupa ini terus menerus berlaku, bukan sahaja pembangunan Thailand terencat, malah kerjasama serantau juga mengalami kesan yang negatif."