Perikatan Demokrasi Menentang Diktator (DAAD) Thailand, hari Selasa yang lalu mengumumkan untuk menamatkan tunjuk perasaan antikerajaan di sekitar jabatan Perdana Menteri. Dengan itu, tunjuk perasaan besar-besaran yang berlangsung selama 19 hari itu telah berakhir secara aman. Walau bagaimanapun, menurut penganalisis, masalah utama dalam masyarakat negara itu belum dapat diselesaikan, dan kerajaan Abhisit Vejjajiva tetap menghadapi cabaran yang besar.
Pemimpin utama DAAD, Veera Musikapong mengumumkan kepada para penunjuk perasaan bahawa untuk mengelakkan lebih ramai orang cedera, DAAD memutuskan untuk menamatkan perhimpunan dan tunjuk perasaan di luar jabatan Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perjuangan DAAD untuk demokrasi yang sebenar dan usaha menggulingkan kerajaan sekarang akan diteruskan. Selepas membuat kenyataan itu, Veera Musikapong telah menyerah diri kepada polis.
Pada petang Selasa itu, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva telah berucap menerusi TV dan menyatakan bahawa situasi di Bangkok sudah kembali pulih. Kerajaannya akan mengenakan hukuman ke atas penunjuk perasaan antikerajaan yang melanggar undang-undang. Menurut beliau lagi, kerajaannya memutuskan untuk memanjangkan cuti umum perayaan Songkran hingga 17 April ini, supaya pihak yang berkaitan mempunyai masa yang lebih panjang untuk membersihkan kawasan berlakunya konflik, dan memastikan situasi di Bangkok pulih sepenuhnya.
Ada tiga sebab mengapa tunjuk perasaan antikerajaan kali ini dapat berakhir secara aman.
Yang pertama, kerajaan Abhisit mempunyai pendirian yang sama dengan pihak tentera dan polis, dan mengambil tindakan yang selaras dengan mereka. Pada petang 12 April, Abhisit mengisytiharkan darurat di Bangkok serta lima provinsi di sekitarnya. Pada awal pagi 13 April, pihak tentera Thailand telahpun mengambil tindakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di beberapa tempat di Bangkok. Melihat tindakan tentera itu, pemimpin penunjuk perasaan memutuskan untuk menghentikan tunjuk perasaan untuk mengelakkan para penunjuk daripada tercedera.
Yang kedua, kerajaan Thailand berjaya menguasai saluran media. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Perdana Menteri Abhisit kerap kali berucap menerusi TV, dan menggesa para penunjuk perasaan supaya pulang ke rumah. Sementara itu, jurucakap kerajaan, tentera dan polis juga terus menerus berucap melalui siaran TV, untuk menjelaskan pendirian mereka yang sama, dan ini berjaya menenangkan perasaan orang awam. Melalui siaran media, jurucakap kerajaan memaklumkan dengan cepat situasi terkini yang semakin reda; jurucakap tentera menegaskan bahawa pihak mereka tidak menggunakan peluru hidup dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku dalam operasi menyuraikan penunjuk perasaan itu; manakala, jurucakap polis pula menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang secara adil terhadap pemimpin DAAD yang ditangkap. Penyebaran maklumat tersebut berjaya memenangi hati rakyat, dan dalam masa yang sama, memberikan tekanan kepada para penunjuk perasaan.
Yang ketiga, tunjuk perasaan yang didalangi oleh DAAD ini semakin kehilangan sokongan rakyat. Pada 9 April yang lalu, pemandu-pemandu teksi penyokong DAAD telah mengepung pintu masuk ke Tugu Kemenangan (Victory Monument) dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Bangkok. Pada 11 April pula, beratus-ratus orang penunjuk perasaan telah merempuh masuk ke pekarangan Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya sehingga mengganggu Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak lain yang berkaitan. Peristiwa ini telah mencemar imej negara Thailand. Selepas keadaan darurat diumumkan di Bangkok pada 12 April, penyokong DAAD semakin ganas sehingga berlaku peristiwa berdarah yang mengakibatkan dua orang awam terbunuh. Maka, itulah sebabnya kebanyakan penduduk Bangkok menyambut baik operasi tentera untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu.
Walaupun tunjuk perasaan antikerajaan kali ini berakhir secara aman, tetapi masalah-masalah yang sedia ada dalam masyarakat Thailand belum dapat diselesaikan. Penganalisis berpendapat, hanya dengan melaksanakan terus dasar yang memberikan keutamaan kepada rakyat, barulah kerajaan Abhisit mendapat sokongan daripada masyarakat akar umbi. Akan tetapi, tindakan ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati pula daripada kalangan masyarakat pertengahan dan kaum bangsawan. Maka, langkah yang diambil yang dapat menyeimbangkan kepentingan golongan-golongan yang berlainan ini, dan yang dapat menyelesaikan perselisihan masyarakat, akan menjadi tugas yang paling mencabar bagi kerajaan Abhisit.