Cari:
China Berusaha Membaik Pulih dan Menyelamatkan Warisan Sejarah di Kawasan Gempa Bumi Sichuan
2009-05-15 16:06:53 CRI Cetak

Gempa bumi yang dahsyat di Sichuan China pada tahun lalu bukan sahaja mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerugian harta benda yang amat serius, tetapi juga telah merosakkan banyak warisan sejarah dan artifak bernilai di kawasan tersebut. Selepas gempa bumi itu berlaku, kerajaan telah memulakan kerja membaik pulih bangunan warisan yang rosak akibat bencana itu. Jumlah peruntukannya dikatakan mencatat angka 6 bilion yuan RMB.

Naib Ketua Pengarah Biro Perlindungan Warisan Budaya Sichuan, Puan Wang Qiong ketika diwawancara berkata: "Gempa bumi di Sichuan itu merupakan satu malapetaka bagi warisan budaya. Sebanyak 79 daripada kesemua 128 buah warisan negara di Sichuan rosak akibat bencana itu. Selain itu, 169 buah warisan peringkat provinsi juga rosak."


Dujiangyan

Antara warisan-warisan sejarah di kawasan gempa bumi itu, yang paling terkenal ialah Dujiangyan. Ia merupakan projek pengairan yang bersejarah lebih 2000 tahun, dan kini masih berfungsi untuk pengairan dan pencegahan banjir. Syukurlah, Dujiangyan hanya terjejas sedikit sahaja dalam gempa bumi tersebut. Namun, Kuil Erwang yang dibina untuk memperingati pereka bentuk dan pembina projek Dujiangyan itu musnah akibat gempa itu.

Sebelum membaik pulih Kuil Erwang, petugas-petugas yang berkaitan telah membuat banyak penyelidikan tentang lakaran binaan dan data-data yang berkenaan untuk membuat rancangan pembaikpulihan yang rapi. Selain itu, mereka menggunakan bahan binaan yang asal, dan mencatatkan setiap tempat yang rosak supaya kuil itu dapat dibaik pulih kembali kepada keadaannya yang asal.

Pegawai yang bertanggungjawab bagi projek pembaikpulihan Kuil Erwang, Encik Zhao Wenbo berkata: "Selepas dibaik pulih, Kuil Erwang akan kelihatan seperti keadaannya yang asalnya."

Selain Dujiangyan, beberapa warisan sejarah yang menjadi khazanah budaya etnik minoriti tempatan turut rosak dalam gempa bumi tahun lalu, antaranya termasuk kompleks bangunan menara etnik Qiang di Buwa, Kaunti Wenchuan. Kini, kerja pembaikpulihan bangunan menara itu sedang dijalankan dengan lancar. Ketua Pengarah Biro Kebudayaan dan Sukan Kaunti Wenchuan, Puan Yu Mei berkata: "Biro Perlindungan Warisan Budaya Negara telah menawarkan tender untuk membaik pulih kompleks bangunan menara di Buwa. Pada bulan Jun tahun lalu, bangunan menara yang terbabit telah ditopang dengan rangka logam supaya tidak runtuh. Seterusnya, kerja untuk melindungi kampung tempat terletaknya bangunan menara itu juga akan dijalankan."

Selain daripada kemudahan dan bangunan yang bersejarah, beberapa muzium di kawasan gempa bumi juga terjejas. Untuk mengurangkan kerugian, selepas gempa bumi berlaku, para petugas di muzium tersebut segera memindahkan sebanyak mungkin artifak dari tempat simpan asal. Biro Perlindungan Warisan Budaya Negara juga menghantar kumpulan pakar untuk memberikan bimbingan kepada usaha memindahkan dan menyelamat artifak.

Ketika menyebut tentang cabaran bagi usaha melindungi warisan sejarah ketika menghadapi bencana alam, Naib Ketua Pengarah Biro Perlindungan Warisan Budaya Sichuan, Puan Wang Qiong berkata: "Selepas gempa bumi itu, banyak ikhtibar yang patut kami ambil. Dulu, kami lebih memberikan perhatian kepada suhu dan kelembapan udara di tempat menyimpan artifak, dan kurang mengambil berat tentang risiko kerosakan artifak akibat gempa bumi atau bencana alam yang lain. Selain itu, data tentang ukuran dan peta amat penting dalam usaha membaik pulih kemudahan atau bangunan warisan sejarah."

Kerja-kerja membaik pulih warisan sejarah di kawasan gempa bumi Sichuan dijangka akan mengambil masa 5 tahun.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China