Sidang Peringkat Menteri APEC ke-21 dan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan APEC ke-16 berakhir di Singapura petang semalam. Para peserta menyatakan bahawa, walaupun ekonomi global pulih daripada kemelesetan, namun masih belum sampai waktunya untuk menghentikan pakej rangsangan. Pelbagai entiti ekonomi perlu menggalakkan permintaan domestik bagi mewujudkan pertumbuhan secara berterusan.
Para peserta berbincang tentang beberapa topik mengenai situasi semasa ekonomi serantau dan antarabangsa, dasar kewangan APEC, dan langkah untuk memberikan sumbangan kewangan kepada perkembangan ekonomi.
Dalam tempoh setahun yang lalu, negara-negara di dunia sama-sama menghadapi cabaran krisis kewangan global dan kemerosotan ekonomi, dan melaksanakan dasar untuk merangsang ekonomi masing-masing. Setakat kini, ekonomi nampaknya kian pulih. Jadi, adakah pakej rangsangan, terutamanya pelaburan besar-besaran bagi jangka masa pendek perlu ditarik balik atau tidak? Menteri Kewangan Kanada, Jim Flaherty telah menyuarakan pandangan umum para peserta dalam sidang itu. Kata beliau: "Kami bersetuju dengan sebulat suara untuk terus mengekalkan pakej rangsangan sehingga tahun 2011, atau sehingga permintaan domestik pelbagai entiti ekonomi meningkat dengan jelasnya. Menghentikan pakej rangsangan terlalu awal mungkin akan mengakibatkan lagi kemerosotan ekonomi."
Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC kali ini bertema "Mengekalkan pertumbuhan dan menghubungkan rantau". Apakah unsur pendorong pertumbuhan ekonomi APEC secara berterusan? Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam memberikan pendapat dengan mengatakan bahawa entiti ekonomi Asia Pasifik perlu mencari jalan yang dapat terus mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Kata beliau: "Zaman yang bergantung kepada A.S. sebagai pendorong pertumbuhan ekonomi seperti sebelum krisis kewangan global, sudah berlalu. Oleh itu, entiti ekonomi perlu mencari pendorong yang baru untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, dan memupuk potensi dalaman APEC."
Negara-negara anggota APEC berpendapat, pembaharuan stuktur merupakan perkara yang penting untuk mencapai matlamat tersebut. Entiti ekonomi yang mendapat keuntungan dalam perdagangan perlu meningkatkan permintaan domestik. Entiti ekonomi yang lain pula perlu meningkatkan pelaburan, meningkatkan kecekapan pengeluaran industri perkhidmatan, atau memperbaiki pembinaan sistem insurans sosial berdasarkan keadaan yang berbeza-beza
Ketika menyentuh tentang tindakan China dalam menghadapi krisis kewangan global ini, Menteri Kewangan Thailand, Korn Chatikavanij berkata: "Kami bersetuju bahawa ekonomi China yang mengekalkan pertumbuhannya yang pesat, bukan sahaja menguntungkan ekonomi Asia, bahkan seluruh dunia. Setakat ini, kerajaan China berjaya mengawal ekonomi makronya. Dengan itu, ekonomi negara itu pulih dan menjadi pendorong pemulihan ekonomi dunia. Pada pandangan saya, negara-negara di dunia aktif melaksanakan kerjasama sehingga mencapai hasil yang baik."