Menteri Perdagangan China, Chen Deming menyeru anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bersama menentang perlindungan perdagangan dan mendesak entiti ekonomi maju terus berusaha untuk mencapai "Matlamat Bogor", iaitu merealisasikan kebebasan perdagangan dan pelaburan dalam entiti ekonomi maju menjelang tahun 2010, dan entiti ekonomi membangun menjelang tahun 2020.
Chen Deming berkata demikian ketika menghadiri sidang-sidang APEC di Singapura. Menurut beliau, trend perlindungan perdagangan di rantau Asia Pasifik telah menarik perhatian ramai sejak tercetusnya krisis kewangan global. Rancangan merangsang ekonomi yang diambil China telah memberi sumbangan terhadap pemulihan pertumbuhan ekonomi dunia, namun negara ini terpaksa mengalami kerugian yang terbesar kerana dilanda pergeseran perdagangan yang baru yang muncul berturut-turut baik di rantau Asia Pasifik, mahupun di seluruh dunia.
Beliau berkata, langkah perlindungan perdagangan akan menghalang pemulihan pertumbuhan ekonomi, bahkan mengakibatkan krisis kewangan menjadi lebih teruk. Sehubungan itu, pelbagai negara perlu bersama menentang perlindungan perdagangan.
Selain itu, Chen Deming berharap APEC membahas keadaan pelaksanaan "Matlamat Bogor" yang dicapai oleh pemimpin APEC di Indonesia pada tahun 1994, terutama pelaksanaan matlamat tersebut di entiti maju.