Kampung Persahabatan China-Indonesia di Aceh
Aceh, salah sebuah Provinsi di Indonesia yang mempunyai pemandangan alam semula jadi yang indah dan kaya dengan sumber alamnya. Dalam keadaan ini, wilayah itu sepatutnya berpotensi untuk berkembang. Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Gabenor Provinsi Aceh, Encik Irwandi Yusuf melahirkan harapannya supaya Aceh dapat menarik lebih banyak perhatian perusahaan China untuk melabur di wilayah tersebut.
Aceh merupakan tempat di Indonesia yang paling teruk dilanda Tsunami Lautan Hindi pada tahun 2004. Bencana itu menyebabkan 160 ribu penduduk tempatan terkorban dan banyak kampung serta kemudahan infrastruktur musnah. Beberapa tahun selepas berlakunya tragedi itu, pembangunan semula pasca bencana telah diadakan secara beransur-ansur di Aceh dengan sokongan kewangan daripada kerajaan negara itu. Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf berkata: "Peruntukan kerajaan itu digunakan dalam usaha seperti membina infrastruktur, kesihatan dan menerajui pertumbuhan ekonomi. Sebanyak 20% daripadanya akan digunakan dalam usaha pendidikan. Pembinaan infrastruktur amat penting bagi Aceh kerana wilayah ini bergolak dengan konflik antara tentera kerajaan dengan kumpulan pemberonta yang berlangsung selama 30 tahun. Konflik ini menyebabkan keadaan infrastruktur tempatan agak mundur jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Indonesia."
Pembangunan semula di Aceh mendapat bantuan besar daripada masyarakat antarabangsa. Ini termasuk bantuan kewangan yang bernilai 500 juta Yuan RMB yang disumbangkan oleh China. Banyak perusahaan China mengambil bahagian dalam pembangunan semula di Aceh dengan beberapa program kerjasama seperti pembinaan 60 buah sekolah, penubuhan sistem amaran awal gempa dan Tsunami dan pembinaan kampung persahabatan China-Indonesia di Aceh. Encik Irwandi Yusuf berkata: "China merupakan negara yang membuat pelaburan paling banyak di Aceh. Sebagai contoh, China sedang membantu membina sebuah stesen jana kuasa elektrik yang berkapasti 200 megawatt di wilayah itu. Pinjaman kewangan yang berjumlah 3 bilion dolar Amerika yang disediakan oleh China akan digunakan untuk membina sebuah tambak dan stesen hidroelektrik. Selain itu, banyak perusahaan China membuat pelaburan dalam industri perlombongan di sini."
Menurut Gebenor itu, asas kerjasama antara Aceh dengan China amat baik dan ini boleh membantu ekonomi Aceh pulih dengan lebih cepat. Oleh yang demikian, beliau telah dua kali mengetuai delegasi melawat ke China untuk meneroka kerjasama antara kedua-dua pihak. Dalam lawatan ke China baru-baru ini, beliau telah mengunjungi ke Syarikat Pesawat Perniagaan China bagi melihat sendiri kapal terbang yang akan dibeli oleh sektor penerbangan Aceh. Di samping itu, lawatan Irwandi Yusuf ke Shanghai menyebabkan beliau merasa kagum terhadap kemudahan infrastruktur yang sempurna dan moden. Kata beliau: "Di Shanghai, kami telah mengadakan kunjungan ke Zon Pelabuhan Yangshan yang luasnya 30 kilometer persegi. Pelabuhan itu sungguh baik. Walaupun Aceh juga mempunyai pelabuhan bebas, namun kemudahan infrastrukturnya tidak sempurna jika dibandingkan dengan pelabuhan di Shanghai."
Encik Irwandi Yusuf berkata, beliau merasa sangat bermanfaat setiap kali melawat ke China. Menurutnya, Aceh sedang berusaha memperbaiki iklim pelaburannya dan berharap lebih banyak syarikat China memberikan perhatian terhadap Aceh untuk membuat pelaburan.
Kata beliau: "Aceh mengalu-alukan syarikat China datang melabur dan bersedia membuka pintu kepada mereka. Sekarang, Aceh selamat dan terbuka. Kami sudah membuat persiapan yang mencukupi untuk perkembangan ekonomi."