Cari:
China Akan Berusaha Bersungguh-sungguh Untuk Menjayakan Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen
2009-11-26 14:24:06 CRI Cetak
Sekarang tidak sampai dua minggu sahaja lagi persidangan PBB mengenai perubahan iklim di Copenhagen akan dibuka tirainya. Bagaimanapun, perbezaan pendapat antara negara maju dengan negara membangun mengenai beberapa isu utama, masih agak besar. Berkaitan dengan hal ini, perunding utama tentang masalah perubahan iklim dari Kementerian Luar China, Yu Qingtai menyatakan bahawa rundingan berkenaan masih menghadapi jalan buntu. Puncanya, menurut beliau, semata-mata kerana negara-negara maju tidak menunjukkan keikhlasan yang secukupnya. Oleh itu, negara-negara tersebut diharap dapat bertindak untuk memastikan janji-janji yang dilafazkan oleh mereka sebelum ini ditunaikan dalam bentuk tindakan. Menurut beliau, masalah perubahan iklim merupakan cabaran yang paling besar bagi seluruh umat manusia pada masa ini. Jadi, negara-negara maju dan negara-negara membangun perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan bersungguh-sungguh, dan sama-sama berusaha ke arah memastikan masalah tersebut ditangani dengan jayanya. Kata beliau:

"Negara-negara di dunia hendaklah melaksanakan kewajipan masing-masing sepenuhnya dan sewajarnya berdasarkan prinsip 'memikul tanggungjawab yang sama tetapi tugas berlainan'. Inilah faktor penting bagi menjayakan persidangan di Copenhagen nanti."

Beliau terus mengemukakan cadangan mengenai beberapa perkara penting yang perlu dilakukan oleh negara-negara di dunia pada masa ini.

"Pertama, negara-negara maju perlu menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan jumlah yang besar dalam fasa kedua pelaksanaan Protokol Kyoto. Kedua, mekanisme yang cekap perlu dibentuk untuk memastikan negara-negara tersebut menunaikan janji mereka untuk memberikan bantuan kewangan dan teknologi kepada negara-negara membangun. Dan, ketiga, selepas mendapat bantuan tersebut, negera-negara membangun juga perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di samping menjamin pembangunan yang berterusan."

Beliau menjelaskan bahawa untuk menangani ancaman daripada masalah perubahan iklim ini, kerajaan China telah mengambil beberapa tindakan yang amat berkesan. Selaras dengan tindakan tersebut, indeks pengurangan penggunaan sumber tenaga bagi setiap unit KDNK dan pelepasan sisa cemar, serta sasaran untuk meningkatkan kadar litupan hutan dan nisbah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui, juga telah dikemukakan. Bagaimanapun, menurut beliau, sebagai negara membangun yang paling besar di dunia, walaupun agregat ekonominya sudah menduduki tempat teratas di dunia, namun ia masih bergelut dengan beberapa masalah yang serius, seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi antara bandar dengan desa. Tambahan pula, dalam proses pengindustrian dan urbanisasi sekarang ini, pertumbuhan ekonomi yang pesat pasti akan menyebabkan peningkatan penggunaan sumber tenaga yang ketara. Dalam konteks ini, usaha China untuk mengurangkan pelepasan pencemaran itu, amat besar maknanya bagi pembangunan ekonomi negara.

Beliau menegaskan bahawa China, sebagai sebuah negara besar yang bertanggungjawab, akan melibatkan diri secara aktif dalam persidangan yang akan berlangsung di Copenhagen nanti dengan sikap yang bersifat membina, dan bersedia berusaha bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa untuk mendorong persidangan tersebut ke arah mencapai hasil yang memuaskan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China