"Pencapaian matlamat tersebut, terutamanya sasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan jumlah yang begitu besar itu, memanglah memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Bagaimanapun, walau apa jua cabaran yang mendatang, azam kami untuk merealisasikan matlamat itu tidak akan goyah. Kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan yang berterusan serta perlindungan iklim sejagat."
Naib Menteri Luar China, He Yafei pula menyatakan bahawa matlamat tersebut benar-benar memperlihatkan sikap kerajaan China yang bertanggungjawab terhadap masa depan seluruh umat manusia. Beliau menekankan bahawa negara-negara maju dan negara-negara membangun berada pada peringkat pembangunan yang berlainan. Jadi, tanggungjawab dan tugas yang diletakkan di bahu mereka juga tidak sama. Oleh itu, membandingkan tanggungjawab yang dipikul oleh kedua-duanya dalam usaha menangani masalah perubahan iklim ini, adalah tidak wajar.
"Hasrat yang munasabah yang ditunjukkan oleh negara-negara membangun dalam isu perubahan iklim ini, wajar dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Bantuan perlu diberikan kepada negara-negara tersebut supaya mereka dapat bergerak dengan lebih pantas sehingga menghasilkan pembangunan yang berterusan."
Menurut "Peta Garisan Bali", selepas mendapat bantuan kewangan dan teknologi daripada negara-negara maju, negera-negara membangun juga perlu mengambil tindakan untuk menangani masalah perubahan iklim berdasarkan keadaan negara masing-masing. Encik Xie Zhenhua menyatakan bahawa matlamat berhubung dengan pengurangan pelepasan karbon dioksida itu merupakan inisiatif yang dibuat oleh kerajaan China secara sukarela tanpa mendapat sebarang bantuan kewangan atau teknologi daripada negara-negara maju. Oleh itu, ia tidak mempunyai kuasa yang mengikat di peringkat antarabangsa. Kata beliau:
"Inisiatif ini memanglah dibuat oleh kerajaan China secara sukarela berdasarkan sikap yang bertanggungjawab, bukan sahaja terhadap rakyat negaranya, malah rakyat seluruh dunia. Bagaimanapun, pada pendapat saya, jika mendapat sokongan kewangan dan teknologi daripada negara-negara maju, matlamat berkenaan pasti dapat direalisasikan lebih awal."