Dalam masa beberapa puluh tahun yang lalu, trend pemanasan global semakin ketara dan ini menjadi punca berlakunya malapetaka, termasuk kemarau, kepanasan yang melampau dan bencana salji yang sering berlaku yang mengancam kehidupan umat manusia. Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB dan Protokol Kyoto merupakan dokumen perundangan yang pertama yang digubal oleh masyarakat antarabangsa untuk menangani perubahan iklim. Persidangan Copenhagen bertujuan untuk membincangkan rancangan pelepasan gas rumah hijau pada tahun 2012 hingga 2020 berdasarkan sasaran pelepasan rumah hijau yang ditetapkan dalam Protokol Kyoto serta mencari jalan untuk menghasilkan perjanjian antarabangsa yang bersifat undang-undang. Itulah sebabnya Persidangan Copenhagen disebut sebagai gerakan menerukan Protokol Kyoto.
China, sebagai negara membangun telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam usaha melambatkan pemanasan global. Janji kerajaan China tentang usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang diperlukan bagi setiap seunit KDNK secara besar-besaran dalam tempoh 10 tahun akan datang itu, menggambarkan keikhlasan China untuk melibatkan diri dalam usaha masyarakat antarabangsa untuk menangani perubahan iklim. Usaha China ini juga mendapat penghargaan masyarakat antarabangsa. Jurucakap Sekretariat Perubahan Iklim PBB menyatakan bahawa pengumuman kerajaan China itu adalah "berita yang amat menggalakkan". Jawatankuasa Kesatuan Eropah berpendapat bahawa China memainkan peranan yang boleh menjadi contoh dalam rundingan yang akan diadakan. Manakala Setiausaha Eksekutif Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB, Ivo De Boer, menyatakan bahawa janji China itu membuka jalan untuk menghasilkan perjanjian antarabangsa yang lebih tuntas.
China, sebagai negara membangun yang terbesar, sedang melaksanakan tugas yang berat dalam usaha membangunkan ekonomi dan mempertingkat mutu kehidupan rakyat. Sehubungan dengan keadaan ini, China akan berusaha meningkatkan keberkesanan penggunaan sumber dan mengurangkan penggunaan sumber tenaga mengikut unit KDNK melalui penggunaan teknologi yang baru. Strategi pembangunan ini disusun oleh kerajaan China menurut keadaan negara ini sendiri.
Hakikatnya, penggunaan sumber tenaga bagi setiap unit KDNK di China terus dikurangkan walaupun pembangunan ekonomi kekal pesat sejak 30 tahun yang lalu. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan China, termasuk menyusun semula struktur industri dan sumber tenaga, mempromosi penggunaan sumber yang boleh dibaharui, serta menggubal dasar yang selaras untuk menangani perubahan iklim.
Masalah alam sekitar juga merupakan masalah pembangunan. Menurut peraturan dalam Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB dan Protokol Kyoto, negara maju berkewajipan untuk menyediakan bantuan dana dan teknikal kepada negara membangun untuk membantu mereka membangunkan ekonomi dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat. Walau bagaimanapun, beberapa buah negara maju menggesa negara membangun yang besar, termasuk China, Brazil dan India untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau yang ditetapkan oleh mereka. Ini bermakna mereka telah mengetepikan prinsip "memikul tanggungjawab yang sama tetapi tugas yang berbeza", dan tidak boleh diterima oleh negara-negara membangun.