Cari:
Kepentingan Negara-negara Membangun Perlu Diberi Perhatian dalam Sidang Kemuncak Iklim Copenhagen
2009-12-04 15:34:33 CRI Cetak

Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan diadakan di Copenhagen, ibu negara Denmark minggu depan. Rancangan seterusnya selepas pelan peringkat pertama "Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB" dan "Protokol Kyoto" untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau berakhir pada tahun 2012, akan dibincangkan dalam sidang tersebut.

Pusat Selatan ialah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang terdiri daripada 51 buah negara membangun. Tugas utamanya adalah melindungi kepentingan negara-negara membangun. Ketua Eksekutif Sakretariatnya Martin Khor telah diwawancara oleh wartawan CRI sebelum berlepas ke Copenhagen untuk menghadiri sidang tersebut.

Martin Khor, seorang ahli ekonomi dari Malaysia pernah menyertai proses rundingan "Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB" dan rencana yang dihasilkannya tentang masalah perubahan iklim selalu diterbitkan oleh media di dunia. Dalam wawancara tersebut, beliau lebih dahulu menerangkan pendirian negara-negara membangun tentang isu perubahan iklim dan menegaskan bahawa negara-negara maju patut mengurangkan pelepasan sisa gas secara besar-besaran. Beliau berkata:

"Negara-negara membangun sudah menyedari bahawa masalah perubahan iklim sangat besar. Sekiranya kita tidak mengambil apa-apa langkah, perubahan iklim akan memberikan kesan buruk terhadap pelbagai aspek kehidupan, seperti cuaca, sumber air dan pertanian. Oleh itu, kita perlu mengatasi masalah tersebut melalui kerjasama peringkat antarabangsa. Sekarang ini, lebih 70% gas rumah hijau dalam udara adalah dikeluarkan oleh negara maju dalam proses pengindustrian mereka. Maka, negara maju perlu menunaikan janji mereka, iaitu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara besar-besaran menurut Protokol Kyoto".

Menurut beliau, negara-negara membangun bukan pihak yang menyebabkan perubahan iklim, sebaliknya mangsa yang paling teruk menerima akibat perubahan iklim ini. Menurut statistik berkenaan yang diumumkan oleh PBB, negara-negara membangun perlu membelanjakan kira-kira 600 bilion dolar Amerika untuk menghadapi kesan negatif akibat perubahan iklim, mengurangkan pelepasan gas dan mewujudkan sistem pencegahan bencana. Bantuan modal kepada negara-negara membangun merupakan satu isu yang sukar direalisasikan dengan sempurna dalam Sidang Kemuncak Copenhagen ini. Martin Khor berkata:

"Negara-negara membangun benar-benar memerlukan bantuan modal kerana pengubasuaian struktur keseluruhan ekonomi bagi mengatas masalah perubahan iklim tidak boleh dilaksanakan tanpa modal yang cukup. Pada pendapat saya, 600 bilion dolar Amerika adalah jumlah yang minimum. Bantuan modal kepada negara-negara membangun yang terkandung dalam 'Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB' perlu ditetapkan dan dilaksanakan dalam sidang Copenhagen itu."

Beliau menyatakan bahawa A.S. ialah satu-satunya negara maju yang belum meluluskan "Protokol Kyoto", dan pernah dituntut melaksanakan usaha mengurangkan pelepasan gasnya sebagai anggota "Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB" dalam sidang iklim PBB di Bali, Indonesia dua tahun yang lalu, tetapi ditolak. Menurut beliau, beberapa buah negara maju juga cuba bersikap seperti A.S. yang melepaskan diri daripada tanggungjawabnya dalam "Protokol Kyoto". Dengan itu, negara-negara membangun perlu melindungi prinsip protokol tersebut dengan teguh.

Martin Khor juga menyatakan penghargaannya terhadap kerajaan China yang mengemukakan matlamat mengurangkan 40% hingga 45% pelepasan CO2 setiap unit bagi KDND baru-baru ini. Beliau berkata:

"China telah menjadi contoh yang baik kepada dunia. Matlamat yang dikemukakan oleh China itu perlu diterima oleh negara maju. Negara-negara lain boleh mempelajari kaedah China untuk mengurangkan pelepasan gas dalam pelbagai bidang, seperti lalu lintas, industri, perumahan dan sumber tenaga. Kita perlu berkongsi pengalaman masing-masing dan meningkatkan kerjasama."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China