Kira-kira sebulan sahaja lagi menjelang siap ditubuhkannya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) pada 1 Januari tahun depan. Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Ketua Jabatan Pengajian dan Pembangunan Kementerian Perdagangan Indonesia, Muchtar berkata, Indonesia seharusnya membuat persiapan yang mencukupi untuk mengambil peluang ini dan menghadapi cabaran daripada CAFTA.
Indonesia merupakan entiti ekonomi yang terbesar antara negara ASEAN. Jumlah perdagangan antara China dengan Indonesia mencatat lebih 31.5 bilion dolar Amerika pada tahun 2008, meningkat 25.7% berbanding dengan tahun 2007. Menurut Muchtar, eksport Indonesia terhadap China dijangka meningkat selepas CAFTA siap ditubuhkan pada tahun depan. Perkara ini amat bermanfaat bagi perkembangan ekonomi Indonesia. Kata beliau: "China mempunyai potensi bagi perkembangan ekonomi yang besar kerana jumlah penduduknya melebihi 1 bilion orang. Selepas siap ditubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, lebih banyak barangan Indonesia dijangka memasuki pasaran China, dan ini pastinya akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi Indonesia."
Menurut Muchtar, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun merupakan kawasan perdagangan bebas yang terbesar di dunia dari segi saiz penduduknya. Ia membolehkan negara-negara yang terlibat untuk berkongsi peluang pembangunan dan mencapai kejayaan bersama. Mengenai barangan China yang menimbulkan kebimbangan sesetengah perusahaan Indonesia, Muchtar berkata, sebenarnya kualiti barangan Indonesia boleh dikatakan setanding dengan China. 90% barangan dalam perdagangan antara China dengan negara ASEAN akan menikmati status bebas cukai mulai tahun depan. Ini juga berfaedah bagi produk Indonesia untuk dieksport ke China. Kata beliau: "Selepas siap ditubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, terdapat kemungkinan pasaran domestik Indonesia mengalami tempias pada tahap tertentu daripada barangan negara asing. Walau bagaimanapun, perusahaan Indonesia diharapkan akan menyedari bahawa produk Indonesia juga boleh menikmati status bebas cukai ketika dieksport ke pasaran China."
Menurut Muchtar, Indonesia seharusnya berusaha meningkatkan daya saing produk sendiri dan mengurangkan kos pengeluaran untuk menghadapi persaingan selepas CAFTA siap ditubuhkan. Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang kurang sempurna merupakan faktor utama yang menyebabkan kos pengeluran dan harga produk mereka terlalu tinggi. Kata beliau: "Indonesia memerlukan masa untuk mengatasi kekurangan dalam sistem pengangkutan dan lalu lintas dan pengangkutan, terutama lalu lintas yang menghubungkan beberapa pulau dan pelabuhan. Kos pengeluaran produk akan menurun jika masalah pengangkutan ini dapat diselesaikan. Dengan ini, daya saingan produk di pasaran antarabangsa akan meningkat."