Cari:
Kejayaan Memerlukan Usaha Bersama Negara-Negara di Dunia
2009-12-07 16:23:13 CRI Cetak

Persidangan ke-15 Negara Pemeterai Konvensyen Rangka Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Persidangan ke-5 Negara Pemeterai Protokol Kyoto berlangsung di Copenhagen, Danmark dari 7 hingga 18 Disember ini. Seramai kira-kira seratus pemimpin negara menghadiri sidang tersebut.

Pelaksanaan perjanjian peringkat pertama Protokol Kyoto akan sampai tempohnya pada tahun 2012. Sehubungan dengan itu, matlamat sidang ini adalah menetapkan tindakan negara-negara di dunia bagi peringkat kedua perjanjian ini, iaitu dari tahun 2012 hingga tahun 2020.

Naib Ketua Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Berterusan Akademi Sains Sosial China, Puan Chen Ying menyatakan bahawa sama ada sidang itu berjaya atau tidak bergantung kepada penyelesaian masalah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan modalnya. Menurut beliau:

"Masih terdapat perselisihan pendapat antara pelbagai pihak dalam isu mencapai matlamat pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan peruntukan modalnya, terutamanya siapakah yang patut membayar untuk mencapai matlamat tersebut. Kami menanti-nantikan sistem kawalan iklim antarabangsa yang adil dan berkesan yang akan ditetapkan dalam sidang Copenhagen ini."

Negara-negara membangun yang diwakili oleh China dan India telah membuat sumbangan besar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau masing-masing. Kerajaan China telah mengumumkan matlamatnya untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida pada kadar 40% hingga 45% pada tahun 2020 berbanding dengan tahun 2005. India turut mengumumkan matlamat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksidanya pada 3 Disember lalu, iaitu pada kadar 20% hingga 25% pada tahun 2020 berbanding dengan tahun 2005.

Mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida merupakan arah aliran pertumbuhan ekonomi dunia. Baik negara-negara maju mahu pun negara-negara membangun akan mendapat manfaat daripadanya. Ketua Pengarah Pusat Kajian Ekonomi Kitaran dan Penilaian dan Ramalan Alam Sekitar Akademi Sains Sosial China, Encik Qi Jianguo menjelaskan: "Negara-negara maju perlu memberikan perhatian yang besar kepada teknik menjimatkan penggunaan sumber tenaga, manakala negara-negara membangun perlu menyusun semula struktur industeri masing-masing dan meningkatkan keberkesanan penggunaan sumber tenaga. Secara umumnya, masalah yang muncul dalam perkembangan ini perlu diselesaikan melalui perbincangan selangkah demi selangkah"

Ketika menyentuh tentang matlamat sama ada sidang kali ini dapat mencapai keputusan yang berkesan atau tidak, Puan Chen Ying berkata:

"Tidak mungkin semua masalah dapat diselesaikan dalam satu sidang ini. Namun, sidang ini tetap merupakan agenda yang penting dalam proses mengawal perubahan iklim antarabangsa. Oleh itu, besar kemungkinannya pihak-pihak yang berkenaan dapat membuat rangka perjanjian. Langkah yang terperinci perlu disempurnakan melalui rundingan selepas sidang."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China