Sebanyak lebih 90% barangan bagi perdagangan antara China dengan negara ASEAN akan menikmati status bebas tarif selepas wujud Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) pada 1 Januari tahun depan. Ketua Pusat Penyelidikan Asia Tenggara Universiti Xiamen, Prof. Wang Qin berkata, CAFTA bakal menyediakan lebih banyak peluang kepada perkembangan syarikat serantau. Ketika ditemu bual oleh wartawan CRI baru-baru ini, beliau berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan memberikan lebih banyak peluang kepada pihak syarikat kerana penubuhannya turut merancakkan perdagangan dan pelaburan di samping menjadikan persaingan lebih sengit. Bagi syarikat pengimport, mereka diberikan lebih banyak pilihan untuk mengimport bahan mentah atau mesin dan peralatan yang dikehendaki mereka, malah dengan harga yang lebih murah." Bagi syarikat yang mengusahakan ekport pula, penurunan tarif boleh mengurangkan kos. Hal ini membantu meningkatkan kemampuan syarikat-syarikat tersebut untuk mengeksport produk mereka."
Menurut Prof. Wang Qin, kemasukan modal asing dan syarikat transnasional juga berfaedah bagi perkembangan syarikat serantau. Kata beliau: "Potensi pasaran dan bertambahnya peluang bukan semata-mata disediakan oleh syarikat serantau, tetapi ia juga melibatkan penyertaan modal antarabangsa. Pada hakikatnya, banyak syarikat transnasional dari rantau yang lain juga menumpukan perhatian terhadap CAFTA, dan memandang rantau ini sebagai pengkalan pengeluaran dan pasaran yang utama bagi mereka. Penubuhan CAFTA akan membantu syarikat-syarikat tersebut memasuki pasaran dan mengubahsuai strategi mereka di rantau ini. Hal ini dijangka memberikan lebih banyak peluang perdagangan kepada syarikat serantau."
Walau bagaimanapun, menurut Prof. Wang Qin, penyertaan syarikat transnasional dari rantau lain akan menyebabkan persaingan lebih sengit dalam rantau CAFTA. Jadi, apakah langkah yang perlu diambil oleh syarikat serantau untuk menghadapi persaingan bersebut? Beliau berkata:
"Syarikat serantau perlu menyusun semula strategi mereka supaya menyesuaikan diri dengan pasaran yang semakin terbuka dan berdaya saing. Syarikat tidak seharusnya takut kepada persaingan. Perkara yang penting bagi mereka adalah mengubahsuai struktur produk dan meningkatkan taraf teknologi. Selain itu, CAFTA bukan sahaja melibatkan perdagangan kargo sahaja, tetapi juga membabitkan perdagangan perkhidmatan. Penubuhan CAFTA berfaedah bagi meneroka ruang pasaran dalam perdagangan perkhidmatan, dan memberikan peluang kepada syarikat serantau."
Menurut Prof. Wang Qin, jumlah perdagangan dua hala China-ASEAN mengekalkan peningkatan yang pesat sejak kedua-dua pihak sepakat bertindak menubuhkan kawasan perdagangan bebas pada tahun 2002. Jumlah peningkatan purata tahunan dalam perdaganan dua hala melebihi kadar 30% dalam tempoh tahun 2003 hingga 2007. Jumlah perdagangan China-ASEAN tetap meningkat 14% pada tahun 2008 walaupun dilanda krisis kewangan global.
Jelas Prof. Wang Qin, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN berfaedah bagi menangani risiko dalam mengatur operasi ekonomi dan memelihara kemakmuran dan kestabilan ekonomi serantau. Kata beliau: "CAFTA boleh memainkan peranannya dalam menghadapi tempias krisis kewangan global. Perdagangan serantau dijangka meningkat lagi dengan penubuhannya. Hal ini boleh mengelakkan negara-negara serantau daripada terlalu tergantung kepada perdagangan dengan rantau yang lain, dan membantu memastikan kestabilan ekonomi serantau terjamin."