Penubuhan Kawasan Perdagangan China-ASEAN (CAFTA) yang akan siap dibina pada 1 Januari tahun depan mempunyai erti yang amat penting dan merupakan usaha yang diperlukan bagi memberi manfaat kepada penduduk kedua-dua pihak. Demikian dinyatakan oleh Ketua Konsulat Thailand ke Guangzhou, Encik Pisana Suvanajata dalam satu temu bual bersama wartawan CRI baru-baru ini. Beliau telah menghuraikan pandangannya terhadap CAFTA. Kata beliau: "Saya amat sukacita melihat penubuhan CAFTA ini. Ia bukan sahaja mempunyai erti yang penting dalam bidang ekonomi dan perdagangan, tetapi juga merupakan satu lambang penting dalam hubungan China-ASEAN."
Menurut Ketua Konsulat itu, CAFTA akan berperanan dalam merapatkan kerjasama dan interaksi antara China dengan negara-negara ASEAN dalam bidang ekonomi, perdagangan dan teknologi. Hal ini boleh memberi keuntungan kepada penduduk kedua-dua pihak dan menerajui pertumbuhan ekonomi serantau. Kata beliau: "CAFTA merupakan kawasan perdagangan bebas yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, iaitu 1.9 bilion orang, dan melibatkan perdagangan dan pelaburan yang amat besar. Perkara yang paling penting dalam penubuhan CAFTA ialah ia boleh mengurangkan harga barangan dalam perdagangan dua hala dan memudahkan lagi pengedaran komoditi antara negara serantau. ASEAN bakal menjadi pasaran yang besar bagi China. ASEAN akan membekalkan lebih banyak bahan mentah kepada China dan di samping itu mendapatkan lebih banyak teknologi dari China. Hal ini dijangka menjadi satu kaedah baru untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara ASEAN. CAFTA pastinya akan memberikan keuntungan kepada penduduk kedua-dua pihak sekiranya proses penubuhannya menurut jadual yang sudah ditetapkan.
Sudah diketahui umum bahawa Thailand mempunyai kelebihan yang amat ketara dalam industri pertanian, pelancongan dan sektor perkhidmatan. Oleh itu, Encik Pisana Suvanajata yakin bahawa banyak sektor di Thailand yang mempunyai kelebihan akan memperoleh keuntungan daripada CAFTA. Kata beliau: "Jumlah eskport buah-buahan Thailand ke China dijangka meningkat lagi selepas penubuhan CAFTA kerana prosedur eksport akan menjadi lebih mudah, malah harga buah-buahan semakin murah berikutan pembatalan tarif. Di samping itu, CAFTA akan memberi keuntungan kepada sesetengah sektor Thailand yang mempunyai kelebihan seperti sektor perkhidmatan, pelancongan, pendidikan dan perhotelan. Selain itu, kawasan perdagangan bebas akan merancakkan pengedaran modal, tenaga manusia dan teknologi antara negara serantau."
Ketika ditanya sama ada terdapat kebimbangan terhadap eksport barangan China yang jumlahnya lebih besar ke pasaran ASEAN, Ketua Konsulat itu berkata: "Bagi saya, perkara ini perlu dilihat dari sudut keseluruhannya. Barangan buatan China juga menghadapi persaingan daripada barangan keluaran Jepun dan Republik Korea di pasaran ASEAN. Oleh itu, barangan China perlu menurunkan harganya dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti supaya menjadi lebih berdaya saing. Hal ini membolehkan penduduk negara ASEAN membeli barangan yang tinggi kualitinya, pada harga yang lebih murah. Produk pertanian merupakan eksport utama bagi negara ASEAN. Maka, negara ASEAN perlu berusaha meningkatkan kualiti bagi produk pertanian di samping menurunkan harganya supaya boleh mendapat sambutan yang baik di pasaran China. Oleh yang demikian, China dan negara ASEAN perlu meningkatkan kualiti produk masing-masing dan mengambil kesempatan daripada penubuhan CAFTA bagi merancakkan perdagangan antara satu sama lain.