Cari:
CAFTA Boleh Beri Manfaat kepada Rakyat Kedua-dua Pihak
2010-01-27 11:10:19 CRI Cetak

Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) telah siap dibina seperti yang dijadualkan pada 1 Januari lalu. Dengan terdirinya CAFTA, ia dianggap memberi peluang baru kepada Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China untuk meneroka ruang kerjasama dengan negara-negara ASEAN. Menurut Naib Pengerusi Persatuan Penyelidikan Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa Guangxi Prof. Gao Ge, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN boleh membawa keuntungan yang realistik kepada rakyat kedua-dua pihak. Beliau yang bertugas di Universiti Minoriti Guangxi berkata demikian ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini.

Menurut Prof. Gao Ge, Guangxi memainkan peranan yang penting dalam merancakkan kerjasama antara China dengan ASEAN bukan sahaja kerana ia sebagai tempat penganjuran tetap setiap tahun bagi Ekspo China-ASEAN, tetapi juga kelebihannya dari segi geografi iaitu berhampiran dengan negara ASEAN. Beberapa tahun lalu, Guangxi mencapai kemajuan yang besar dalam mengeratkan kerjasama dan interaksi dengan ASEAN, terutama dalam industri pertanian, ekonomi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan. Prof. Gao Ge yakin, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan terus memperluaskan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Kata beliau: "Guangxi yang dulunya hanya sebuah wilayah di kawasan sempadan telah berkembang menjadi pusat yang menghubungkan China dengan negara ASEAN berikutan penubuhan CAFTA. Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi dengan negara-negara ASEAN akan menjadi lebih mendalam. Selain itu, jumlah import-eksport antara kedua-dua pihak juga akan meningkat lagi."

Selepas siap tertubuhnya CAFTA, 93% barangan dalam perdagangan antara China dengan ASEAN akan menikmati status bebas tarif. Hal ini akan memudahkan produk China dan ASEAN untuk menembusi pasaran antara satu sama lain.

Menurut Prof. Gao, sebelum ini, terdapat kebimbangan bahawa produk pertanian China akan menghadapi persaingan yang hebat di pasaran domestik berikutan kemasukan produk tanpa tarif dari negara ASEAN. Namun, pada hakikatnya, persaingan itu bukan sehebat seperti yang disangka, kerana produk pertanian kedua-dua pihak berlainan bukan sahaja dari segi jenisnya, tetapi juga dari segi masa penuaiannya. Beliau berkata: "Sebagai contoh, kita mengimport tembikai dari Vietnam pada musim perayaan Tahun Baru China, dan mengeskport buah-buahan itu kepada Vietnam pada musim panas. Interaksi seumpama itu bukan sahaja memperkayakan jenis barangan di pasaran kedua-dua negara, tetapi juga memperluaskan perdagangan antara satu-sama lain. "

Menurut padangan Prof. Gao, pelaksanaan "Rancangan Pemperolehan Peringkat Awal" merupakan satu langkah yang amat berjaya dalam proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Kata beliau:

"Banyak barangan Thailand didapati di pasaran Guangxi kerana Thailand melaksanakan 'Rancangan Pemperolehan Peringkat Awal' itu dengan lebih awal. Berdasarkan perjanjian yang dicapai oleh China dan ASEAN, barangan Thailand yang diangkut melalui Laos dan Vietnam juga boleh menikmati status bebas tarif ketika dieksport ke Guangxi. Dengan demikian, pengangkutan produk pertanian dari Thailand ke Guangxi yang memakan masa dua hari sahaja, dan dengan kos yang lebih murah. Perkara ini menjadikan harga hasil pertanian dari negara ASEAN menurun dengan ketara. Sebagai contoh, harga manggis dan durian menurun separuh berbanding dengan masa-masa dahulu. Sekarang, Pingxiang, Guangxi telah menjadi pintu masuk lagi mengimport buah-buahan dengan jumlah paling banyak dari negara ASEAN, manakala Dongxing pula merupakan pintu masuk untuk mengimport hasil laut dan getah paling banyak dari Vietnam."

Prof Gao Ge berpendapat, keuntungan yang diperoleh oleh rakyat daripada CAFTA boleh dilihat daripada dua aspek: pertama, kemasukan barangan dari negara ASEAN boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada para pengguna; kedua, hubungan perdagangan yang bertambah erat bermanfaat bagi perkembangan syarikat kedua-dua pihak. Hal ini akan membantu meningkatkan pendapatan kakitangan syarikat dan menyediakan lebih banyak peluang kerja. Menurut beliau, sekarang kesan daripada kewujudan CAFTA boleh dirasai di bandar Nanning, ibu kota Guangxi. Kata beliau: "Pada masa dahulu, hanya Vietnam sahaja yang menubuhkan konsulatnya di Guangxi. Tetapi, selepas Zon Perniagaan China-ASEAN dibina, Thailand dan beberapa negara ASEAN yang lain juga berbincang untuk mendirikan konsulat mereka di sini. Selain itu, pelajar Vietnam yang melanjutkan pelajaran mereka ke Guangxi, sekarang melebihi seribu orang pada setiap tahun, sedangkan angka itu lebih seratus orang sahaja pada masa dahulu. Di Akademi Perniagaan Universiti Minoriti Guangxi, iaitu tempat yang saya bertugas, pelajar dari ASEAN mencatat jumlah paling banyak antara pelajar asing. Selain itu, Ekspo China-ASEAN yang diadakan di Nanning pada setiap tahun boleh dikatakan menjadi hari perayaan bagi penduduk tempatan."

Rancangan Pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxi mula dilaksanakan oleh kerajaan pusat pada awal tahun 2008. Zon ekonomi itu melibatkan beberapa bandar utama di Guangxi seperti Nanning, Beihai, Qinzhou dan Fangchenggang. Ia juga menyasarkan pembangunan zon perlindungan tarif keenam di China. Selain itu, kerajaan Chongzuo, iaitu sebuah bandar Guangxi yang terletak berhampiran dengan Vietnam juga merancang pembangunan zon kerjasama ekonomi merentasi sempadan dengan Vietnam, bagi memudahkan kegiatan perdagangan dua hala, khususnya di kawasan sempadan. Prof. Gao Ge berkata: "Jika dibandingkan dengan pembinaan zon perlindungan tarif, kerjasama merentasi sempadan boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menjayakan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Syarikat kedua-dua pihak perlu memahami dengan tepat peraturan yang berkaitan dengan kawasan perdagangan bebas, bagi merapatkan kerjasama dengan rakan perniagaannya dan mendapat keuntungan yang realistik.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China