Cari:
Proses Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN Hanya Pada Langkah Permulaan Sahaja
2010-02-25 14:12:22 CRI Cetak

Kebanyakan barangan yang diperdagangkan antara China dengan negara-negara ASEAN mula menikmati status bebas tarif sejak Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dibuka pada 1 Januari tahun ini. Ketika ditemu bual oleh wartawan CRI, Ketua Pengarah Jabatan Penyelidikan Isu Antarabansga Akademi Sains Sosial China, Zhang Yunling berkata, CATFA ditubuhkan berdasarkan model kerjasama perdagangan yang serba baru, dan pembukaanya pada 1 Januari itu hanyalah langkah permulaan sahaja dalam proses penubuhan sebenarnya.

CAFTA yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun ini merupakan kawasan perdagangan bebas yang mempunyai penduduk paling ramai. Menurut Zhang Yunling, terdapat tiga faktor yang memastikan CAFTA ini dapat beroperasi mengikut jadualnya. Pertama, kedua-dua pihak menunjukkan minat terhadap pasaran antara satu sama lain; kedua, CAFTA ditubuhkan berdasarkan prinsip saling menguntungkan dan muafakat bestari; ketiga, cara penubuhan CAFTA penuh inovasi.

Kata beliau: "China amat mengambil berat tentang masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh negara anggota ASEAN dalam proses penubuhan CAFTA. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam pelaksanaan Rancangan Pemerolehan Peringkat Awal sebelum ini. Berdasarkan rancangan tersebut, kami membuka pasaran industri pertanian lebih dahulu kepada ASEAN, supaya negara-negara ASEAN yang mundur boleh mengeksport produk pertanian mereka ke China. Rundingan mengenai penubuhan CAFTA diadakan secara berperingkat-peringkat, iaitu dari Perjanjian Perdagangan Kargo, Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan, hinggalah akhir ke Perjanjian Pelaburan. Jadual pembatalan tarif yang berlainan ditetapkan bagi negara-negara ASEAN, antaranya bagi 6 negara anggota ASEAN lama, status bebas tarif dilaksanakan pada 1 Januari lalu, manakala bagi Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar dilewatkan 3 hingga 5 tahun. Selain itu, CAFTA ini bukan bertujuan untuk membuka pasaran semata-mata, malah menyasarkan peningkatan kerjasama ekonomi antara satu sama lain. Hal ini berlainan dengan model perdagangan antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah dan juga model Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara.

Zhang Yunling berkata, China dan ASEAN telah menjalankan kerjasama ekonomi yang menyeluruh dalam proses rundingan mengenai penubuhan CAFTA. Kedua-dua pihak telah menetapkan 10 bidang kerjasama yang utama dan berusaha untuk mempergiat kerjasama antara negara-negara di kawasan Sungai Mekong dan kawasan Pan Teluk Beibu. Selain itu, kedua-dua pihak juga mempergiat kerjasama dalam usaha membina kemudahan infrastruktur. Kesemua ini membolehkan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN, terutamanya dengan negara yang berjiranan menjadi lebih rancak lagi.

Kata beliau: "Guangxi dan Yunan yang berhampiran dengan negara ASEAN boleh menggunakan kelebihannya dari segi geografi dalam mempererat kerjasama dengan negara-negara tersebut, terutamanya Kerjasama di Kawasan Sungai Mekong Besar dan Kerjasama Ekonomi di kawasan Pan Teluk Beibu. Di samping itu, kerjasama ekonomi yang menyeluruh antara China dengan ASEAN juga dapat dilihat daripada penubuhan Koridor Ekonomi Nanning-Singapura, pembentukan jaringan pelabuhan dan Kawasan Pelancongan Besar. Ini bukan sahaja memerlukan pembukaan pasaran antara satu-sama lain, tetapi juga memerlukan sokongan dari segi kemudahan infrastruktur, dasar kerajaan dan peraturan di segi undang-undang. Oleh yang demikian, penubuhan CAFTA boleh memperdalam kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN, terutama bagi kawasan yang berhampiran antara kedua-dua pihak".

Menurut Encik Zhang Yunling, kelemahan beberapa negara membangun termasuk China dan negara-negara ASEAN dapat dilihat dengan jelas ketika dilanda krisis kewangan. Ini kerana kebanyakan negara membangun berada di tempat yang rendah dalam rangkaian industri sejagat, malah menjadi pangkalan pemprosesan bagi eksport. Perkara ini menjadikan pertumbuhan ekonomi negara membangun amat bergantung kepada eskport, iaitu permintaan di pasaran antarabangsa. Menurut beliau, masalah ini perlu diatasi melalui usaha meningkatkan permintaan di pasaran serantau. Hal ini juga penting bagi menghadapi kesan negatif daripada perlindungan perdagangan yang dilakukan oleh beberapa negara maju. Katanya: "Memandangkan situasi yang baru, kaedah pembangunan yang bergantung kepada industri pemprosesan dan eksport akan menghadapi kebuntuan yang lebih serius pada masa akan datang. Oleh itu, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN perlu menyasarkan untuk meningkatkan kemampuan sendiri demi mencapai pembangunan. Matlamat ini boleh dicapai melalui kerjasama ekonomi yang lebih mendalam bagi tujuan memperbaiki iklim ekonomi dan meningkatkan produktiviti. Dengan demikian, kita mampu mengeluarkan produk untuk kegunaan sendiri, bukannya untuk syarikat di rantau yang lain."

Encik Zhang Yunlin beranggapan bahawa hubungan perdagangan antara China dengan ASEAN meningkat dengan amat pesat sejak kedua-dua pihak memulakan rundingan ke arah penubuhan CAFTA pada tahun 2001. Hasil yang dicapai dalam proses penubuhan CAFTA boleh dilihat dengan peningkatan perdagangan kedua-dua pihak yang melebihi kadar 10% pada setiap tahun sebelum berlakunya krisis kewangan global, malah China telah menjadikan pasaran eksport yang terbesar bagi kebanyakan negara anggota ASEAN. Walaupun China dan ASEAN telah menamatkan semua rundingan yang berkaitan dengan CAFTA, namun proses penubuhan kawasan perdagangan bebas ini baru pada langkah pertama, dan banyak kerja lagi perlu dibuat pada masa depan. Beliau berkata: "Ramai orang kata bahawa satu pasaran besar diwujudkan dengan beroperasinya CAFTA pada 1 Januari tahun ini. Walhal, sebenarnya ini bukan bermakna CAFTA telah siap ditubuhkan, tetapi ia hanyalah langkah permulaan sahaja. Banyak lagi kerja perlu dilakukan pada masa depan dalam membentuk pasaran besar tersebut. Ini termasuk meningkatkan tahap pembukaan pasaran, terutama dalam bidang perkhidmatan dan pelaburan, dan terus mengurangkan lagi sekatan perdagangan bukan tarif."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China