Cari:
Kerajaan China Berusaha untuk Berkhidmat bagi Bakal Haji
2010-10-18 16:30:36 CRI Cetak

Di sebuah hotel di Lanzhou, provinsi Gansu semalam, He Jinxiang, bakal haji dari kaunti Min bandar Dingxi provinsi Gansu China memeriksa bagasinya menurut risalah yang disediakan oleh kerajaan. Beliau yang telah berusia 61 tahun itu akan pergi ke Mekah-tempat yang begitu jauh dari kampung halamannya buat pertama kali dalam hidupnya. Menurut He Jinxiang, masjid di kampung halamannya serta kerajaan di pelbagai tempat telah mengadakan kursus untuk memberikan maklumat tentang barang-barang yang perlu dibawa dan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian ketika di Mekah kepada bakal haji. Dengan panduan-panduan tersebut, beliau telah pun bersiap untuk menunaikan fardu haji. Pada subuh pagi tadi, He Jinxiang telah menaiki kapal terbang sewa khas untuk jemaah haji yang bertolak dari bandar Lanzhou ke Mekah.

Terdapat 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Provinsi Gansu mempunyai 6 etnik minoriti yang beragama Islam dengan jumlah umat Islamnya mencecah 1.8 juta orang. Seramai 2460 umat Islam dari provinsi itu akan menunaikan fardu haji dengan panduan dan pengurusan kerajaan pada tahun ini.

Naib Ketua Jemaah Haji Gansu kali ini, yang juga Naib Pengerusi Persatuan Islam provinsi itu, Ma Youcheng telah 7 kali mengetuai jemaah haji menunaikan fardu haji ke Mekah. Menurut beliau, sejumlah besar bakal haji di provinsi itu adalah dari kawasan desa, malah ada yang dari kawasan terpencil, mereka kurang pengetahuan dan pengalaman untuk melawat negara lain. Bahasa Arab yang dikuasai oleh mereka hanyalah terbatas dalam bidang agama, dan keadaan ini mungkin akan menyusahkan mereka untuk berkomunikasi dengan saudara Islam di Arab Saudi. Mereka akan menghadapi pelbagai masalah seperti kesihatan, penginapan, makanan dan pengangkutan dalam tempoh lebih sebulan di Mekah. Oleh sebab itu, kerajaan China telah mengumpulkan jemaah haji tersebut dan menyediakan perkhidmatan yang berkait dengannya kepada mereka agar mereka berjaya menunaikan rukun yang fardu itu.

Sebelum mereka berangkat, masjid dan kerajaan di pelbagai peringkat telah menyediakan kursus untuk menyampaikan maklumat tentang proses menunaikan fardu haji, keselamatan, makanan, keperluan berjumpa doktor dan penginapan kepada bakal haji semua.

Menurut peraturan Persatuan Islam China, jemaah haji dari mana-mana provinsi perlu melantik tokoh yang berilmu, fasih berbahasa Arab dan mempunyai wibawa yang tinggi untuk menjadi pemimpin dan ketua jemaah mereka. Selain itu, kerajaan China juga telah berusaha menyediakan perkhidmatan dari segi pengangkutan kepada jemaah haji. Penerbangan langsung dari bandar Lanzhou, Gansu ke Mekah telah dimulakan sejak tahun 2004. Bakal haji dari Gansu, Qinghai dan beberapa kawasan di Ningxia dapat terus pergi ke Mekah tanpa transit di Beijing. Menurut Ma Youcheng, penerbangan langsung akan menjimatkan kos sekurang-kurangnya 5 ribu yuan RMB bagi setiap bakal haji. Selain itu, langkah tersebut juga dapat menjamin keselamatan dan kesihatan bakal haji warga emas.

Ma Xiaofeng dari bandar Zhang Ye, Gansu menghantar ibunya yang sudah berusia 69 tahun untuk menunaikan fardu hajah pada tahun ini. Menurut beliau, jemaah haji yang dikumpulkan oleh kerajaan mendapat perkhidmatan yang sungguh memuaskan. Jadi, beliau tidak berasa bimbang akan keselamatan dan kesihatan ibunya.

Ketua Setiausaha Jemaah Haji provinsi Gansu yang juga Pengarah Bahagian Fardu Haji Jabatan Hal-Ehwal Agama provinsi itu, Ma Jianping berkata, aktiviti menunaikan fardu haji ini diuruskan oleh Persatuan Islam China. Kerajaan menyelia, mentadbir dan menyediakan perkhidmatan kepada aktiviti tersebut untuk menjamin kesihatan dan keselamatan bakal haji.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China