Cari:
Kerja Penganjuran Sukan Asia Guangzhou Amat Dihargai
2010-11-25 16:03:32 CRI Cetak

Sukan Asia Ke-16 yang sedang berlangsung di Guangzhou, China akan ditutup tirainya tidak lama lagi. Suasana di gelanggang pertandingan dan perkhidmatan yang cekap dan mesra yang disediakan oleh pihak penganjur telah mendapat pujian yang tinggi daripada kontinjen negara-negara peserta temasya sukan tersebut.

Umum mengetahui bahawa jika ingin menjayakan sesebuah temasya sukan, kerja persiapan dan penganjuran merupakan faktor yang paling penting. Walaupun Sukan Asia hanya disertai oleh kontinjen negara dan kawasan di rantau ini, namun, jumlah atlet, jurulatih dan pegawai teknik sukan yang menyertai temasya sukan ini lebih ramai daripada jumlah peserta Sukan Olimpik 2008 Beijing. Apatah lagi, jumlah acara yang dipertandingkan juga lebih banyak daripada acara Sukan Olimpik. Oleh itu, kita dapat membayangkan betapa sukarnya kerja menganjurkan Sukan Asia di Guangzhou ini.

Walau bagaimanapun, dengan usaha yang gigih oleh jawatankuasa penganjur dan pasukan sukarelawan, setakat ini, Sukan Asia Guangzhou ini telah berjalan dengan lancar.

Ketua Kontinjen Republik Korea ke Sukan Asia Guangzhou, Encik Lee Kee Heung telah melahirkan rasa puas hatinya terhadap perjalanan sukan tersebut.

"Apabila tiba di Guangzhou, kami berasa amat puas hati dengan kemudahan dan pesekitaran yang disediakan, terutamanya persekitaran venue-venue pertandingan dan perkhidmatan pengangkutan. Kami tidak menghadapi masalah makan di sini. Pihak penganjur yang bertimbang rasa pula menyediakan jeruk kubis untuk kami."

Selain daripada itu, perkhidmatan sukarelawan Sukan Asia Guangzhou juga meninggalkan kenangan yang mendalam kepada anggota kontinjen dari pelbagai negara.

Jurulatih Pasukan Sepak Takraw Thailand, Pairoj Archarungroj berkata: "Saya memberikan markah penuh kepada prestasi pasukan sukarelawan. Mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam setiap perkhidmatan, termasuk pemanduan dan penterjemahan. Ketika kami ingin mengetahui jadual perkhidmatan bas ulang-alik untuk atlet, mereka akan mendapatkan jadual itu dan menerangkannya kepada kami. Ketika pertandingan berlangsung pula, mereka juga pantas menghantar minuman."

Keghairahan dan kemesraan penduduk Guangzhou sebagai tuan rumah pula sentiasa dapat dirasai.

Jaguh gimnastik Jepun, Mizudori Hisashi memberitahu wartawan CRI bahawa tepukan yang diberikan oleh penonton tempatan menjadi galakan kepada atlet-atlet yang bertanding.

"Apabila atlet membuat persembahan yang menarik, penonton akan memberikan tepukan yang gemuruh. Dalam suasana ini, persembahan saya menjadi begitu lancar."

Dalam Sukan Asia kali ini, atlet-atlet yang menyertai permainan bola pingpong, badminton dan terjun telah menunjukkan prestasi yang paling tinggi tarafnya di dunia. Beberapa rekod dunia dan rekod Asia telah dipecahkan dalam temasya sukan tersebut. China dianggap memainkan peranan yang penting dalam usaha memajukan sukan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China