Cari:
China Berusaha Menyelesaikan Masalah Kesesakan Lalu Lintas
2010-12-29 15:20:23 CRI Cetak

Baru-baru ini, peraturan yang dilaksanakan untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas di bandar Beijing telah menarik perhatian masyarakat di China. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ekonomi China telah berkembang pesat dan proses urbanisasi juga berjalan lancar, namun hal ini turut membawa masalah kesesakan kepada bandar-bandar raya di China. Bagaimana, China bukan sahaja menghadapi cabaran untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sahaja malah usaha untuk melindungi hak setiap orang untuk menggunakan jalan raya, menjadi ujian yang besar kepada kerajaan bandar.

Seorang perempuan warga Beijing berkata, "Setiap hari saya melalui Jalan Yaojiayuan, Jalan Chaoyang Utara dan Jalan Chaoyang, tiada sebatang jalan pun daripada ketiga-tiga jalan itu yang lancar lalu lintasnya."

Seorang lelaki pula berkata, "Jalan terlalu sesak. Setiap hari saya menghadapi kesesakan yang sama. Jalan dibanjiri kenderaan; kereta api bawah tanah juga dipenuhi orang. Saya tidak tahu adakah bandar lain yang keadaan lalu lintasnya begitu buruk seperti di Beijing ini."

Baru-baru ini, peraturan baru untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas mula dikuatkuasakan di Beijing. Menurut peraturan itu, pertambahan jumlah kenderaan yang baru di Beijing dihadkan pada 20 ribu buah sahaja setiap bulan, platnya akan dikeluarkan dengan cara mencabut undi. Di samping itu harga letak kereta juga dinaikkan. Naib Pengarah Jabatan Perhubungan Beijing, Liu Shaoming menyatakan bahawa walaupun kesan peraturan yang baru itu tidak dapat dilihat dalam jangka pendek, namun ia memang akan memainkan peranan yang penting dalam usaha mencegah kesesakan lalu lintas daripada menjadi lebih buruk lagi. Kata beliau,

"Punca masalah jalan sesak berbagai-bagai. Peraturan yang baru ini merupakan pakej penyelesaian yang bersepadu. Saya yakin ia tentu dapat memainkan peranan bagi usaha memperbaiki keadaan lalu lintas di Beijing."

Selain beberapa langkah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, dalam peraturan yang baru itu, kerajaan Beijing juga membuat banyak pengubahsuaian dalam rancangan pembangunan bandar. Jurutera kanan dari Institut Perancangan Lebuh Raya di bawah Kementerian Pengangkutan, Dr. Wang Zhong menyatakan bahawa kunci untuk mengatasi masalah kesesakan adalah perancangan pembangunan bandar yang sempurna. Kata beliau,

"Peraturan yang baru ini telah menegaskan pentingnya menyempurnakan rancangan pembangunan bandar, termasuk mengubahsuai fungsi kawasan pusat bandar dan memindahkan penduduk yang terkumpul di pusat bandar ke tempat lain. Selain itu, kerajaan juga akan memberikan tumpuan sumber tenaga yang besar kepada pembangunan pengangkutan awam."

Kesesakan lalu lintas sekarang bukan sahaja berlaku di bandar raya, seperti Beijing dan Shanghai, malah sudah mula berlaku di bandar-bandar yang lebih kecil. Antara 667 buah bandar di seluruh negara ini, 2/3 daripadanya sudah menghadapi masalah jalan sesak pada waktu sibuk.

Pelbagai langkah yang diambil oleh bandar-bandar di China untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ini hanya dapat dilihat berkesan atau tidak, setelah diuji dalam suatu tempoh yang panjang.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China