Cari:
Kenyataan Bersama Menjadi Pelan Tindakan bagi Hubungan China-A.S.
2011-01-21 13:54:11 CRI Cetak

Sebagai hasil yang penting daripada lawatan Presiden China, Hu Jintao ke A.S. kali ini, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak pada 19 Januari lalu. Kenyataan tersebut menyebut bahawa, "China dan A.S. bersedia menjalinkan hubungan rakan kerjasama yang saling menghormati dan saling menguntungkan demi menghadapai peluang dan cabaran pada abad ke-21". Pakar-pakar dari China bersependapat bahawa dokumen yang mendefinisikan hubungan China-A.S. sebagai "rakan kongsi" ini, akan menjadi asas yang kukuh kepada usaha untuk mempererat kerjasama serta terus menggalakkan kepentingan bersama antara kedua-dua pihak tersebut pada masa depan.

Ketua Institut Penyelidikan Sejarah Hubungan China-A.S., Encik Tao Wenzhao berpendapat bahawa, kenyataan ini telah memberikan definisi yang lebih jelas kepada hubungan China-A.S.. Kata beliau:

"Dalam pertemuan yang pertama antara Hu Jintao dan Obama pada tahun 2009, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menjalinkan hubungan China-A.S. yang bersifat positif, kerjasama dan menyeluruh. Dalam kenyataan yang dikeluarkan kali ini pula, hubungan China-A.S. telah diberikan definisi yang lebih jelas, iaitu 'rakan kerjasama yang saling menghormati dan saling menguntungkan'. Selain itu, bidang kerjasama antara kedua-dua negara yang ditetapkan dalam kenyataan ini adalah lebih konkrit dan terperinci. Oleh itu, ia boleh dianggap sebagai pelan tindakan bagi hubungan China-A.S. pada masa akan datang."

Naib Pengarah Jabatan A.S., Institut Pengajian Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Encik Niu Xinchun lebih menumpukan perhatiannya kepada aspek "mempertingkatkan rasa saling mempercayai yang strategik" yang ditekankan dalam kenyataan ini. Beliau berpendapat bahawa aspek tersebut amat penting bagi perkembangan hubungan antara China dengan A.S. pada masa depan. Kata beliau:

"Dalam beberapa tahun yang lalu, banyak percanggahan yang timbul antara China dengan A.S. justeru kerana kedua-dua pihak masih kekurangan rasa saling mempercayai. Oleh itu, dalam tempoh lawatan Hu Jintao kali ini, Obama kerap kali menegaskan pendiriannya yang mengalu-alukan kebangkitan China. Manakala China juga telah menyatakan pendiriannya yang mengalu-alukan sumbangan A.S. terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik. Sebenarnya, A.S. sering bimbang bahawa kebangkitan China akan mengancam kedudukan mereka di rantau tersebut. Kerana itulah, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh rasa saling mempercayai yang strategik antara satu sama lain."

Kenyataan ini dikatakan juga memberikan penjelasan yang lebih lanjut tentang perselisihan pendapat antara China dengan A.S. dalam bidang hak asasi manusia. Encik Tao Wenzhao berpendapat bahawa hal ini memperlihatkan sikap terus-terang kedua-dua pihak. Kata beliau:

"Dalam kenyataan ini, kedua-dua pihak telah menjelaskan pendirian masing-masing dalam pelbagai isu, terutamanya isu Taiwan dan hak asasi manusia. Ini cukup memperlihatkan kejujuran dan keikhlasan kedua-dua pihak untuk menghadapi perselisihan yang sedia wujud."

Encik Niu Xinchun menyatakan bahawa dalam kenyataan ini, paling menarik perhatiannya ialah kemajuan yang dicapai antara kedua-dua pihak dalam bidang ketenteraan dan isu nuklear Semenanjung Korea. Kata beliau:

"Dalam kenyataan ini, kedua-dua pihak sekali lagi menekankan peri pentingnya untuk mengekalkan hubungan ketenteraan yang stabil dan berterusan. Kedua-dua pihak juga mencapai persepakatan untuk menyelesaikan isu nuklear Semenanjung Korea melalui Rundingan Enam Pihak. Kesemuanya merupakan kemajuan penting yang dicapai dalam lawatan Hu Jintao kali ini. "

Para pakar berpendapat bahawa percanggahan dalam hubungan China-A.S. tidak dapat diselesaikan hanya melalui satu lawatan sahaja, dan hubungan antara kedua-dua negara ini juga akan menghadapi masalah lagi pada masa depan. Bagaimanapun, justeru seperti kesimpulan yang dibuat oleh pemimpin kedua-dua negara dalam kenyataan ini, hubungan China-A.S. yang lebih kukuh bukan sahaja sesuai dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara, malah juga bermanfaat bagi rantau Asia Pasifik, bahkan seluruh dunia. Hubungan China-A.S. pasti dapat terus berkembang menuju ke arah yang lebih positif asalkan kedua-dua negara ini dapat menyelesaikan semua masalah melalui rundingan dalam rangka kenyataan bersama ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China