Cari:
Loji Nuklear dan Ekonomi Jepun Tumpuan Antarabangsa
2011-03-15 12:04:38 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Setakat pukul 8.00 pagi tadi, gempa bumi dahsyat yang melanda Jepun sehingga mencetuskan tsunami pada 11 Mac lalu, telah mengakibatkan 2,414 orang terkorban, manakala lebih daripada 3,000 orang lagi hilang. Sekarang, seluruh lapisan masyarakat di Jepun sedang menumpukan sepenuh tenaganya untuk menghadapi bencana dan menyelamatkan mangsa. Sementara itu, negara-negara di dunia, termasuklah China dan negara-negara Asia Tenggara, pula terus-menerus menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana di negara tersebut. Kesan bencana gempa bumi dan tsunami ke atas loji nuklear serta ekonomi Jepun, juga telah mendapat perhatian yang besar daripada masyarakat antarabangsa.

Gempa bumi dan gelombang tsunami yang dahsyat itu telah memberikan tamparan yang cukup hebat kepada ekonomi Jepun, yang baru sahaja keluar daripada kelembapan. Semalam, Indeks Nikkei 225 di Bursa Tokyo menjunam 6.18%, iaitu ditutup pada 9,620.49 mata selepas jatuh 633.94 mata, yang merupakan penurunan yang paling drastik sejak tercetusnya krisis kewangan antarabangsa pada tahun 2008. Untuk mengekalkan kestabilan pasaran, Bank of Japan (BOJ) telah memanggil mesyuarat tentang dasar monetari semalam, dan membuat keputusan untuk menyuntikkan dana yang berjumlah 180 trilion yen ke dalam pasaran mata wang bagi jangka pendeknya.

Berdepan dengan masalah ketidakcukupan bekalan elektrik, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) telah mengumumkan beberapa langkah kecemasan malam kelmarin, termasuk melaksanakan pelan catuan bekalan elektrik di Tokyo dan wilayah-wilayah di sekitarnya, dan mengurangkan bekalan elektrik dalam penggunaan pengangkutan

Selepas gempa bumi itu berlaku, 11 buah reaktor di 4 buah loji janakuasa elektrik di seluruh negara Jepun telah gagal berfungsi. Beberapa buah generator di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi dilaporkan meletup atau mengalami kerosakan. Namun, pegawai Jepun hari ini masih menyatakan bahawa loji janakuasa tersebut serta loji-loji janakuasa yang lain di kawasan bencana masih dalam keadaan yang terkawal. Sementara itu, kerajaan Jepun telah mengumumkan penubuhan sebuah jabatan bersepadu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Naoto Kan untuk menangani masalah yang mungkin akan berlaku di loji janakuasa Fukushima Daiichi. Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano semalam mengesahkan bahawa kerajaan Jepun sudah mengemukakan permintaan kepada IAEA supaya menghantar panel pakar ke Jepun untuk membantu menangani krisis keselamatan nuklear yang dicetuskan oleh gempa bumi dan bencana tsunami di negara itu.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China