Situasi di Loji Janakuasa Nuklear Pertama Fukushima, Jepun masih agak kritikal meskipun negara tersebut sudah mencapai kemajuan yang besar dalam aspek membaiki sistem bekalan kuasa elektrik luarnya.
Graham Andrew, penolong khas kepada Yukiya Amano, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), semalam berkata, suhu dalam bekas tekanan di reaktor unit No.1 dan No.3 di Loji Janakuasa Nuklear Pertama Fukushima, masih terlalu tinggi. Situasinya sangat mengkuatirkan.
Beliau juga berkata, disebabkan air luar di kawasan perairan yang berdekatan dengan Loji Janakuasa Nuklear Pertama Fukushima dikesan tercemar oleh bahan radioaktif, pihak berkuasa di Jepun memutuskan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap air laut dan atmosfera di lapan buah tapak pemantauan yang sejauh 30 kilometer dari pantai. Pakar dari IAEA dikatakan akan turut terlibat dalam kerja menganalisis keputusan pemeriksaannya.
Setakat pukul 9.00 pagi tadi, gempa bumi dahsyat yang melanda bahagian timur laut Jepun sehingga mencetuskan tsunami, sudah mengakibatkan 9,523 orang terbunuh, manakala 16,067 orang lagi hilang.