Cari:
Kod Barangan Baharu akan Diperkenalkan dalam Perdagangan ASEAN
2011-12-05 14:43:19 CRI Cetak

Negara-negara anggota ASEAN akan memperkenalkan sistem kod barangan WTO baharu mulai tahun depan bagi memudahkan aktiviti perdagangan serantau dan perdagangan di pasaran antarabangsa.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tarif Singapura, sistem kod barangan yang baharu itu adalah untuk memudahkan usaha mengkategorikan barangan, dan merancakkan kegiatan perdagangan antarabangsa. Oleh yang demikian, langkah memperkenalkan sistem kod barangan baharu dalam perdagangan serantau antara langkah yang penting ke arah pembentukan komuniti ekonomi ASEAN menjelang tahun 2015.

Sehingga kini, terdapat lebih 200 buah negara dan kawasan di dunia menggunakan sistem kod barangan baharu bagi mengemaskan kegiatan perdagangan antarabangsa. Berdasarkan sistem itu, semua barangan akan diberikan kod sendiri yang mempunyai lapan digit. Tarif import yang berlainan akan dikenakan kepada sesebuah barangan mengikut kodnya. Oleh itu, dengan melihat kod tersebut, syarikat pengeksport boleh mengetahui sama ada perlu atau tidak membayar tarif bagi suatu barangan, dan sama ada barangan itu boleh menikmati dasar keutamaan tarif mengikut perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Sistem kod barangan baharu itu juga akan diperkenalkan dalam proses rundingan antara pelbagai negara untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian tarif yang berkenaan. Selain itu, kod barangan baharu juga boleh membantu usaha kawal selia terhadap proses pengeluaran, logistik dan penjualan barangan. Perkara ini amat bermakna kepada usaha memastikan keselamatan makanan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar, malah usaha antikeganasan.

Perjanjian mengenai sistem kod tarif baharu ASEAN ditandatangani oleh negara-negara ASEAN di Myanmar pada Jun tahun 2010. Selaras dengan perjanjian itu, Singapura akan mengemaskinikan sistem perdagangan sendiri mula 1 Januari tahun 2012 bagi merancakkan aktiviti perdagangan antara negara-negara anggota ASEAN, terutamanya dalam proses pengisytiharan barangan di kastam.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China