Cari:
Ekonomi Indonesia Meningkat Pesat Pada Tahun 2011
2011-12-26 14:57:19 CRI Cetak

Ekonomi Indonesia tidak mengalami kesan negatif daripada kemerosotan ekonomi AS dan kawasan Euro, sebaliknya ia mencapai perkembangan yang pesat, di samping mengekalkan kadar inflasi dan kadar pengangguran yang rendah. Menurut Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, kadar pertumbuhan ekonomi negara itu melebihi 6% pada tiga suku tahun pertama tahun ini. Manakala, kadar itu dijangka mencatat 6.5% pada suku tahun terakhir.

Selain itu, kadar pengangguran yang terus susut merupakan satu lagi pencapaian yang cukup menggalakkan dalam sektor ekonomi Indonesia pada tahun ini. Kadar pengangguran menurun kepada 6.6% pada penghujung bulan Ogos lalu, jauh lebih rendah berbanding 7.1% pada masa yang sama tahun lepas. Menurut Bank Pusat Indonesia, kadar pengangguran yang semakin menurun disebabkan lebih banyak peluang pekerjaan yang tersedia dalam perkembangan industri yang pesat.

Sumber alam dan permintaan domestik antara dua faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat Indonesia. Indonesia kaya dengan pelbagai jenis sumber alam termasuk petroleum, gas asli, dan biji timah. Pengeluaran minyak kelapa sawit dan getah Indonesia menduduki tempat kedua di dunia. Di samping itu, industri pelancongan juga dianggap satu peneraju utama kepada ekonomi Indonesia. Permintaan domestik yang meliputi 240 juta penduduk juga memberi dorongan kuat kepada pertumbuhan ekonomi.

Perkembangan ekonomi Indonesia sentiasa mendapat faedah daripada ASEAN, khususnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN yang membolehkan kadar tarif perdagangan menurun purata 1.51% antara enam buah negara anggota lama ASEAN pada tahun 2003, termasuk Indonesia. Selain itu, kerjasama yang baik antara ASEAN dengan negara lain termasuk China, Jepun, Republik Korea dan India turut mendorong perkembangan ekonomi negara itu.

Selepas krisis kewangan global, strategi pelaburan modal antarabangsa beralih kepada pasaran ekonomi yang baharu muncul di Asia. Pada suku tahun pertama tahun 2009, ketika krisis kewangan global paling teruk berlaku, Batam, iaitu sebuah Kawasan Ekonomi Khusus(KEK) Indonesia telah memperoleh pelaburan asing yang bernilai USD 22.9 juta.

Walau bagaimanapun, menurut ahli ekonomi, ekonomi Indonesia juga menghadapi beberapa risiko yang tidak boleh diabaikan. Ini termasuk, kesan negatif daripada kemerosotan ekonomi dunia, ancaman keselamatan daripada konflik agama dan kegiatan keganasan, serta gejala rasuah kerajaan. Oleh yang demikian, bagaimana mengekalkan trend perkembangan ekonomi yang pesat dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang antara satu usaha yang mencabar bagi kerajaan negara itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China