Indonesia menyasarkan kadar penduduk miskin menurun kepada 8%-9% menjelang tahun 2014.
Indonesia mencapai hasil yang memuaskan dalam usaha membasmi kemiskinan pada beberapa tahun yang lalu. Menurut Badan Pusat Statistik Indonesia (BPS), kejayaan ini dicapai berdasarkan usaha gigih kerajaan, sokongan bersepadu pelbagai lapisan masyarat dan beberapa faktor yang lain. Ini termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang mapan, eksport yang semakin meningkat, gejala inflasi yang ditangani dengan berkesan, peluang pekerjaan yang makin bertambah dan pendapatan pekerja yang meningkat secara berterusan.
Demi mencapai kemajuan baharu dalam usaha membasmi kemiskinan, kerajaan Indonesia akan melakukan usaha dalam empat aspek pada tahun ini. Pertama, menyempurnakan jaminan sosial dan mengembangkan usaha kebajikan. Dalam pada itu, kerajaan akan menggalakkan kalangan korporat memberikan sumbangan kepada golongan miskin dalam usaha perubatan, pendidikan dan jaminan insurans.
Kedua, membantu menerokai potensi pembangunan di kawasan luar bandar. Perkara ini dianggap penting kerana 63% penduduk miskin, iaitu 18.97 juta orang berada di kawasan desa. Kini, kerajaan Indonesia mengamalkan rancangan bantuan"Program Kebangsaan bagi Keupayaan Komuniti(PNPM) Mandiri" di kawasan perumahan dan kawasan desa yang mundur di seluruh negara. Rancangan itu melibatkan peruntukan sebanyak 12 trilion hingga 15 trilion Rupiah setiap tahun dalam tempoh 2012-2014. Fokus rancangan itu bagi membantu perkembangan pertanian, industri perhutanan, penternakan dan perikanan serta industri pemprosesan hasil pertanian di kawasan tersebut. Ia sekali gus membantu menyediakan lebih banyak peluang kerja.
Aspek Ketiga untuk menyediakan "Kredit Usaha Rakyat " tanpa deposit bagi membantu perkembangan syarikat kecil dan sederhana. Pinjaman itu dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di samping memastikan jaminan sosial kepada penduduk yang miskin. Menurut statistik daripada Kementerian Koordinator Perekonomian Indonesia, sebanyak 29 trilion Rupiah dikeluarkan untuk pinjaman itu pada tahun 2011. Peruntukan itu melebihi 30% daripada rancangan asal. Kira-kira 6 juta syarikat kecil dan sederhana menerima faedah daripada pinjaman tersebut.
Langkah seterusnya untuk memastikan dana membasmi kemiskinan digunakan dalam pembangunan infrastruktur di kawasan desa. Dana membasmi kemiskinan yang dirancang kerajaan bernilai 47.8 trilion Rupiah, iaitu 0.6% daripada KDNK negara itu. Kebanyakan dana itu akan digunakan dalam pembangunan kemudahan asas di kawasan desa, termasuk lalu lintas, belakan elektrik, telekomunikasi, perumahan dan bekalan air.
Dengan usaha-usaha sedemikian, kerajaan Indonesia menyasarkan kadar penduduk miskin menurun 2% lagi daripada 12.36% pada tahun ini.