Rundingan pusingan ke-14 Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) diadakan di AS pada 6 hingga 15 September ini. Dilaporkan, beberapa negara ASEAN yang menyertainya masih ragu-ragu terhadap rundingan tersebut.
Namun begitu, 11 buah negara anggota APEC termasuk Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Vietnam masing-masing menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai rundingan berkenaan. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Vu Van Ninh berkata, TPP akan memainkan peranan yang positif dalam hubungan perdagangan Vietnam-AS.
Peraturan TPP berhubung perusahaan milik negara menimbulkan kebimbangan sejumlah syarikat Singapura yang mempunyai kaitan dengan kerajaannya. Brunei Darussalam juga bimbang akan masalah yang mungkin timbul setelah mengamalkan standard TPP yang tinggi, khususnya dalam sektor pelaburan, perkhidmatan kewangan, pekerjaan, alam sekitar dan harta intelek. Rakyat Malaysia pula bimbang bahawa selepas menandatangani TPP, negara itu akan dipaksa untuk menggubal undang-undang bagi melindungi modal syarikat-syarikat transnasional yang menepati peraturan TPP, yang mungkin akan menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Indonesia, Thailand dan Filipina turut memberikan perhatian yang tinggi terhadap rundingan TPP kali ini manakala Myanmar, Laos dan Kemboja yang bukan negara anggota APEC tidak layak untuk menganggotai TPP. Menteri Perdagangan Kemboja, negara pengerusi bergilir ASEAN, Cham Prasidh menyatakan baru-baru ini, pihaknya tidak berharap untuk menganggotai TPP ekoran standard yang ditetapkan terlalu tinggi.
Selain itu, ASEAN dan enam negara rakannya dari kawasan perdagangan bebas termasuk China, Australia, India, Jepun, Republik Korea dan New Zealand baru-baru ini mengumumkan bahawa rundingan mengenai Perjanjian Perkongsiaan Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan dimulakan pada November tahun ini.
Menurut Cham Prasidh, RCEP adalah pesaing bagi TPP, dengan melibatkan kira-kira 50% penduduk dan 30% jumlah KDNK global.
Oleh yang demikian, Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan berkata, RCEP mempunyai asas yang lebih kukuh dan praktikal bagi ASEAN dan negara rakan dari kawasan perdagangan bebasnya. Tambahan pula, RCEP tidak akan mengakibatkan perselisihan politik antara anggota ASEAN.