Tan Swee Yiow (tengah) bergambar bersama-sama dengan wartawan CRI.
Upacara penyampaian hadiah bagi sepuluh perusahaan China ke ASEAN dan sepuluh perusahaan ASEAN ke China yang terbaik serta usahawan yang cemerlang pada tahun 2012 anjuran Majlis Perniagaan China-ASEAN (CABC) diadakan di Beijing pada 24 Januari lalu. Dua orang usahawan dan tiga buah syarikat Singapura memenangi hadiah tersebut, antaranya syarikat Keppel Land.
Melalui pembangunan selama hampir 20 tahun, Keppel Land telah memiliki lebih 30 projek hartanah di lebih sepuluh buah bandar di China. Menyentuh tentang rahsia kejayaannya, Presiden syarikat tersebut, Tan Swee Yiow berkata, pembangunan di pasaran China hasil usaha mereka yang sentiasa mementingkan kualiti.
"Kami telah memasuki pasaran China selama lebih 20 tahun. Projek pertama kami di bandar Kunming. Oleh sebab kami sentiasa mengutamakan mutu dalam setiap projek, projek kami di Kunming berjaya meraih banyak hadiah di seluruh dunia. Ini menyediakan asas yang baik bagi pembangunan kami di pasaran China."
Sebagaimana diketahui umum, hartanah merupakan urus niaga yang terbatas kepada daerah tertentu. Inilah sebabnya banyak syarikat berkenaan tidak mahu melabur ke luar negara. Walau bagaimanapun, pasaran Singapura terlalu kecil, maka syarikat di negara itu tiada pilihan selain meneroka pasaran di luar negara. Tan Swee Yiow berpendapat, Keppel Land mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri dalam persaingan dengan syarikat tempatan China. Katanya,
"Sebagai syarikat Singapura, kelebihan kami adalah komitmen kami pada kualiti dan perhatian kami terhadap pembangunan lestari. Saya tahu, pelaksanaan konsep seumpama ini akan meningkatkan kos yang berkenaan. Namun, ia membolehkan kami menyumbang kepada pembangunan komuniti dan komited kepada penggunaan teknologi rendah karbon."
Sejak tahun 2009, kerajaan China telah memperkenalkan siri dasar kawalan terhadap pasaran hartanah bagi membendung lonjakan harga hartanah. Sejumlah syarikat domestik China melahirkan rasa tidak puas hati mereka atas dasar tersebut. Namun, Tan Swee Yiow berpendapat, dasar berkenaan berjaya menyingkirkan syarikat yang lemah sekali gus menyeragamkan sektor berkenaan.
Berhubung Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China, Tan Swee Yiow berpendapat bahawa matlamat urbanisasi di China yang dikemukakan dalam kongres tersebut adalah peluang terbesar bagi pembangunan sektor berkenaan.
"Pembandaran menyebabkan kami menaruh harapan penuh terhadap pasaran China. Apabila penduduk berpindah ke bandar, mereka akan memerlukan lebih banyak rumah, kedai dan ruang pejabat. Ini menjadi peluang bagi kami."
Tambahan pula, pembangunan ekonomi China dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat Singapura. Peningkatan taraf hidup rakyat China dan keinginan untuk membaharui cara hidup mereka bakal merangsang permintaan pasaran, yang dipercayai bermanfaat bagi semua pihak yang terlibat.