Parlimen bandar Manila, Filipina baru-baru ini meluluskan resolusi permohonan maaf dengan nama kerajaan bandar itu berkaitan peristiwa tebusan pada 23 Ogos 2010 yang mengakibatkan lapan pelancong Hong Kong maut manakala tujuh lagi cedera.
Resolusi itu menegaskan, oleh sebab insiden itu berlaku di wilayah pentadbiran bandar Manila, dan misi menyelamatkan mangsa ketika itu dijalankan oleh pihak kerajaan tempatan, maka Datuk Bandar Manila bertanggungjawab memohon maaf dan mengetuai usaha memulihkan hubungan dengan Hong Kong. Dokumen ini akan dibawa sendiri oleh Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada ke Hong Kong. Sebelum ini, beliau menyatakan akan melawat ke Beijing pada bulan November, dan kemudiannya singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang untuk berunding dengan pihak tempatan supaya amaran penyenaraihitaman pelancong Filipina dibatalkan di Hong Kong.
Menurut media tempatan Filipina, Joseph Estrada merupakan pegawai kerajaan pertama yang meminta maaf selepas tiga tahun berlakunya peristiwa tebusan tersebut. Namun, resolusi itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Luar dan Jabatan Presiden Filipina, dan tidak dapat mewakili pendirian kerajaan negara itu.
Sehubungan dengan itu, laman sesawang GMA Filipina memetik kenyataan Naib Datuk Bandar Manila, Isko Moreno sebagai berkata, dalam tiga tahun lalu, hubungan yang terjejas antara Hong Kong dengan Manila sedang pulih semula. Tindakan Manila ini bukan untuk menimbulkan rasa benci yang baharu, tetapi untuk menjamin kepentingan penduduk Manila tidak terjejas.
Menurut AFP, setiausaha Majlis Perbandaran Manila, Luch Gempis berkata, bandar Manila kini lebih berterus terang, dan mesti mengakui kesilapannya dalam usaha menyelamatkan tebusan pada tahun itu.
Pada 20 September 2010, kerajaan Filipina mengumumkan laporan siasatan mengenai peristiwa tebusan tersebut, lalu mencadangkan untuk mendakwa 15 pegawai atas keabaian tugas, namun pihak Filipina tidak membuat sebarang pendakwaan. Bahkan, kerajaan Filipina tidak pernah meminta maaf dan memberikan ganti rugi berkaitan peristiwa ini. Presiden Filipina, Benigno Aquino III ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC di Indonesia pada awal bulan ini, masih tidak bersedia untuk meminta maaf atas peristiwa tebusan itu, dan hanya melahirkan rasa "sesal yang mendalam".