Sejak SCO ditubuhkan pada 12 tahun yang lalu, pertemuan berkala Perdana Menteri yang diadakan setiap tahun terutamanya berfungsi untuk melaksanakan persepakatan sidang kemuncak, di samping menggalakkan kerjasama yang pragmatik antara pelbagai negara anggotanya. Berhubung pertemuan yang bakal diadakan itu, Naib Menteri Luar China, Cheng Guoping berkata,
"Ini merupakan kali pertama PM Li menghadiri pertemuan itu. Beliau akan bersama-sama dengan rakan sejawatnya dari negara lain membuat kesimpulan tentang keadaan kerjasama dalam pelbagai bidang, melaksanakan persepakatan Sidang Kemuncak Bishkek dan menyusun langkah yang penting untuk mengintensifkan kerjasama yang pragmatik."
Berdepan situasi antarabangsa dan serantau yang rumit dan sering berubah, serta pemulihan ekonomi dunia yang masih rapuh dan lemah, pelbagai negara anggota SCO berharap perpaduan pertubuhan ini dapat mewujudkan kestabilan dan pembangunan melalui kerjasama. Cheng Guoping memaklumkan bahawa PM Li dalam pertemuan kali ini akan mengeluarkan anjuran kerjasama yang mempertimbangkan keprihatinan dan keperluan pelbagai pihak. Dijangka, pertemuan kali ini akan meluluskan perjanjian antara kerajaan negara anggota SCO mengenai kemudahan pengangkutan laluan antarabangsa. Beliau berkata,
"Perjanjian itu adalah dokumen penting yang akan ditandatangani dalam pertemuan kali ini, rundingan mengenainya telah berlangsung selama sembilan tahun. Menurut perjanjian itu, jalan raya berkenaan di dalam wilayah negara anggota sendiri akan dibuka kepada negara anggota lain menjelang tahun 2017."
Selain itu, kaedah meningkatkan kerjasama dalam memerangi keganasan menjadi perhatian China sekarang. Cheng Guoping berkata,
"Pelbagai negara anggota SCO berpendirian yang sama dalam memperhebat usaha memerangi keganasan. Dalam tempoh pertemuan tersebut, para pemimpin tentu akan membincangkan kaedah kerjasama untuk memerangi keganasan terutamanya Pergerakan Islam Turkestan Timur. China akan mengeluarkan beberapa cadangan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan."
Selain itu, pasukan pengaman NATO akan mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada tahun 2014, maka situasi keselamatan Afghanistan pada masa depan turut menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk SCO. Cheng Guoping mendedahkan, memelihara kestabilan dan pembangunan rantau Asia Tengah merupakan salah satu tugas mustahak SCO pada masa depan.