Cari:
Insiden MH370 Perlihat Keperluan Tingkat Kerjasama di Laut China Selatan
2014-03-13 15:16:01 CRI Cetak

Pesawat MAS MH370 telah hilang selama enam hari. Sehingga kini, nasib 239 orang dalam pesawat itu masih tidak diketahui. Skop dan kehebatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Laut China Selatan yang disertai oleh pelbagai negara, jarang berlaku dalam sejarah. Insiden ini turut memperlihatkan kerjasama di Laut China Selatan perlu ditingkatkan.

Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa China, Qu Xing berkata, misi SAR kali ini sangat hebat. Namun, jika dilihat dari segi penyelarasan misi, keperluan untuk mengintensifkan kerjasama antara pelbagai negara di Laut China Selatan sangat mendesak.

Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika menghadiri sidang kemuncak China-ASEAN (10+1) pada bulan Oktober lalu telah mengemukakan syor

untuk menggariskan Pelan Tindakan Kerjasama Bantuan Bencana China-ASEAN, dan meningkatkan hubungan dengan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA). China bersedia menyediakan RMB 50 juta bagi kerjasama tersebut. Selain itu, China juga bersedia menubuhkan mekanisme dialog dan pertukaran antara badan penguat kuasa undang-undang maritim dengan ASEAN serta mengadakan kerjasama termasuk dalam bidang latihan personel dan rondaan bersama. Pada November 2011, kerajaan China pula memutuskan untuk menyediakan RMB 3 bilion bagi menubuhkan tabung kerjasama maritim China-ASEAN. 17 projek yang paling awal dilaksanakan termasuk kerjasama SAR di laut.

Selepas berlakunya bencana tsunami Lautan Hindi pada penghujung tahun 2004, kesedaran untuk mencegah dan mengurangkan bencana dalam kalangan negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara kian meningkat. Hasrat pelbagai negara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang tersebut semakin kuat. Kerjasama itu telah menjadi sebahagian yang penting dalam kerjasama antara China dan negara ASEAN.

Qu berkata, kerjasama antarabangsa memerlukan kepercayaan yang sepenuhnya. Kali ini, Malaysia dan Vietnam membenarkan kapal dan pesawat negara lain memasuki wilayah masing-masing untuk menjalankan misi SAR. Perkara ini memperlihatkan bahawa kedua-dua negara tersebut menjunjung semangat kemanusiaan untuk menggalakkan kerjasama SAR.

PM Li ketika diwawancara oleh media ASEAN pada bulan Oktober lalu berkata, China dan ASEAN perlu meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang keselamatan, menyempurnakan mekanisme mesyuarat menteri pertahanan serta memperkasakan kerjasama dalam bidang bantuan bencana, keselamatan siber, pembanterasan jenayah transnasional dan penguatkuasaan undang-undang bersama.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China