Media Vietnam melaporkan, untuk merangsang pelancongan domestik dan mengurangkan pengaruh negatif ekoran pertikaian dengan China berkaitan Laut China Selatan terhadap industri pelancongan negara itu, Jabatan Pentadbiran Am Pelancongan Vietnam melancarkan kempen "Orang Vietnam Melancong di Vietnam" kelmarin. Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan pelbagai tempat digesa bekerjasama dengan persatuan dan agensi pelancongan tempatan untuk meningkatkan promosi dan mutu perkhidmatan pelancongan.
Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Pelancongan Vietnam, Nguyen Van Tuan berkata, industri pelancongan Vietnam telah berkembang dengan baik pada beberapa tahun kebelakangan ini. Kempen yang baru dilancarkan ini bertujuan memastikan trend ini berterusan, sambil menjana perkembangan sosioekonomi negara dan mengurangkan kemiskinan. Pada masa yang sama, perantau Vietnam di luar negara juga dialu-alukan pulang ke tanah air untuk melancong serta mempromosikan imej Vietnam yang indah kepada sahabat-sahabat di luar negara.
China merupakan rakan dagang terbesar bagi Vietnam, dengan jumlah perdagangan bilateral mencatat USD 50.2 bilion pada tahun lalu. Khususnya dalam bidang pelancongan, China telah menjadi negara sumber pelancong luar paling besar bagi Vietnam. Terdapat 1.9 juta pelancong China melawat Vietnam pada tahun lalu yang membawa pendapatan mata wang asing yang besar kepada negara itu. Manakala, pendapatan pelancongan menduduki 25% daripada KDNK Vietnam. Bagaimanapun, sejak hubungan bilateral terjejas ekoran Vietnam mengganggu operasi syarikat minyak China di Laut China Selatan pada bulan Mei lalu, khususnya selepas berlakunya rusuhan antiChina, Kementerian Luar China telah mengeluarkan cadangan "menghentikan pelancongan ke Vietnam". Ini mengakibatkan jumlah pelancong China serta pendapatan mata wang asing Vietnam merosot, sehingga ekonomi negara itu terjejas teruk.
Meskipun kempen kali ini dapat membantu merangsang ekonomi pelancongan Vietnam, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk menutup kerugian akibat kemerosotan jumlah pelancong China. Bagaimanapun, industri pelancongan Vietnam memperlihatkan momentum perkembangan yang baik pada lima bulan pertama tahun 2014. Berdasarkan statistik Jabatan Pentadbiran Am Pelancongan Vietnam, pendapatan pelancongan meningkat 28% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, antaranya jumlah pelancong domestik meningkat 6.9%, manakala jumlah pelancong asing meningkat 21.11%. Ini memperlihatkan sumbangan besar pelancong asing terhadap industri pelancongan Vietnam.
Pelbagai pihak di Vietnam telah menyatakan sokongan yang besar terhadap kempen ini di samping pelbagai langkah mengintensifkan promosi pelancongan yang sedia ada. Jelas sekali, tekad Vietnam untuk merangsang pelancongan domestik boleh dikatakan agak kukuh.
Kerajaan Vietnam turut mengeluarkan langkah-langkah merangsang permintaan domestik pada tahun ini. Selain melancarkan kempen pelancongan baharu ini, pegawai kerajaan Vietnam turut mencadangkan supaya warga Vietnam lebih banyak makan buah laici untuk membantu petani tempatan serta membeli produk buatan Vietnam. Ini kerana pertumbuhan ekonomi Vietnam kurang dinamik pada beberapa tahun ini. Khususnya setelah berlaku krisis kewangan, permintaan pasaran antarabangsa yang lebih lemah telah menjejaskan eksport Vietnam. Maka kerajaan Vietnam terpaksa memfokuskan usaha mengembangkan permintaan domestik. Selain itu, Vietnam selalu berusaha mengurangkan kebergantungannya kepada ekonomi China. Dengan situasi yang tegang antara kedua-dua negara pada masa ini, berdikari menjadi semakin penting bagi negara itu.