Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2014 sedang diadakan di Beijing. Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang diterajui China menjadi fokus media baru-baru ini. China dilaporkan akan menubuhkan AIIB secara rasmi pada hari ini. Penganalisis menyatakan bahawa AIIB akan terlebih dahulu memfokuskan pembinaan laluan sutera yang baharu. Inisiatif yang dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping itu bertujuan meneroka laluan perdagangan baharu ke Eropah. Lebih 20 buah negara dijangka akan menganggotai AIIB. Semua negara anggota ASEAN mengalu-alukan penubuhan AIIB. Walaupun masih belum diumumkan negara mana akan menganggotai AIIB, namun yang boleh dipastikan adalah 9 negara ASEAN kecuali Indonesia yang baru menamatkan pilihan raya Presiden, akan menganggotai AIIB sebagai pengasas. Bagaimanapun, Indonesia sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya juga akan menyertai AIIB selepas pilihan raya tersebut.
Beberapa tahun kebelakangan ini, perkongsian strategik ASEAN-China sudah menjadi penggerak yang kuat bagi pembangunan serantau. China telah menjadi rakan dagang terbesar ASEAN, manakala ASEAN rakan dagang ketiga terbesar bagi China. China dan ASEAN telah menetapkan sasaran perdagangan dua hala berjumlah USD 500 bilion menjelang 2015, dan USD 1 trilion menjelang 2020, selain jumlah pelaburan bilateral mencecah USD 150 bilion dalam tempoh 8 tahun bermula 2013.
Bagaimanapun, banyak entiti ekonomi baru muncul di Asia khususnya beberapa negara ASEAN kekurangan modal dalam bidang infrastruktur, yang memberi impak terhadap pembangunan ekonomi. Timbalan Pengarah Bahagian Belanjawan Kemboja, Thirong Pen mendedahkan bahawa Kemboja sedang berusaha mewujudkan sasaran menjadi negara berpendapatan sederhana menjelang 2050. Namun, kos membina infrastruktur amat besar. Contohnya, pembinaan landasan kereta api memerlukan modal lebih USD 3 bilion. Penubuhan AIIB akan membantu negara ASEAN mengatasi masalah tersebut, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara China dengan negara-negara ASEAN serta integrasi serantau, yang turut menguntungkan China dan ASEAN.
Menurut anggaran AIIB, pelaburan infrastruktur di Asia memerlukan kira-kira USD 800 bilion setiap tahun, selain hampir USD 300 bilion lagi untuk pembinaan infrastruktur serantau. Namun, keperluan modal ini tidak dapat dipenuhi semata-mata oleh institusi kewangan. Kerajaan China pernah mencadangkan supaya modal AIIB ditambah kepada USD 100 bilion. Hal ini dianggap penting bagi pembinaan infrastruktur dan kesalinghubungan negara-negara Asia termasuk ASEAN.