Cari:
Kontrak Kereta Api Untungkan China, AS
2014-10-24 15:20:39 CRI Cetak

Jabatan Pengangkutan Massachusetts, AS akan membeli 284 buah kereta api bawah tanah buatan Perbadanan CNR Berhad China, iaitu pembekal lokomotif, enjin dan gerabak kereta api terbesar di negara ini, dengan kontrak bernilai USD 567 juta. Ini merupakan kali pertama kelengkapan pengangkutan kereta api China dieksport ke pasaran AS.

Menurut kontrak berkenaan, 284 kereta api itu akan digunakan di Boston, ibu kota Negeri Massachusetts dan kawasan di sekitarnya. Boston yang mula membina sistem kereta api bawah tanah pada tahun 1897, antara bandar paling awal di dunia yang mempunyai sistem pengangkutan itu. Kereta api tersebut akan digunakan untuk menggantikan kereta api lama dalam laluan jingga dan laluan merah di Boston, yang masing-masing telah beroperasi selama 32 tahun dan lebih 40 tahun. Kumpulan pertama kereta api yang kini sedang dalam ujian akan digunakan dalam laluan jingga pada tahun 2018, dan semua kereta api berkenaan dijangka dapat beroperasi secara rasmi di Boston pada tahun 2023. Menurut kontrak, 60% alat ganti kereta api yang disediakan oleh CNR mesti dihasilkan di AS.

CNR memperoleh kontrak itu selepas menewaskan pesaingnya dari Kanada, Republik Korea dan Jepun. Pengurus Besar Syarikat MA di bawah CNR, Lu Xiwei dalam temu bual bersama wartawan AS berkata, "Saya amat teruja. CNR akan sedaya upaya menyediakan kereta api yang berkualiti tinggi kepada Jabatan Pengangkutan Massachusetts. Kami juga merancang mendirikan kilang di Springfield. Kami akan menunaikan semua janji."

Gabenor Massachusetts, Deval Patrick mengalu-alukan pemeteraian kontrak pembelian kereta api tersebut. Beliau berkata, "CNR akan menubuhkan ibu pejabat bagi wilayah AS di Springfield. Ini akan menambah peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Selain itu, sebagai pembekal kereta api yang unggul di dunia, CNR juga merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka di Amerika Utara."

CNR dilaporkan akan menubuhkan sebuah kilang di Springfield, Massachusetts untuk memasang dan menguji kereta api. Pembinaan kilang itu dijangka menelan kos USD 60 juta. Projek berkenaan yang akan dimulakan pada tahun depan, dijangka menyediakan sebanyak 100 peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan serta 150 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China