Persidangan Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-22 berakhir di Beijing semalam. Dalam sidang akhbar selepas persidangan itu, Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin anggota APEC telah mencapai persepakatan meluas untuk menggalakkan integrasi ekonomi serantau, mendorong inovasi, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, serta meningkatkan pembinaan infrastruktur dan kesalinghubungan yang menyeluruh. Persidangan itu amat berhasil dan mencapai matlamat yang dihasratkan.
Menurut Presiden Xi, Perisytiharan Pemimpin-pemimpin APEC yang dikenali sebagai Garis Panduan Beijing dan Pengumuman Ulang Tahun Ke-25 APEC bagi Menjalin Perkongsian Asia Pasifik demi Masa Hadapan yang diluluskan dalam persidangan ini menjelaskan haluan, matlamat dan langkah pembangunan APEC pada masa depan. Kata beliau, "Pengumuman Ulang Tahun Ke-25 APEC merupakan pengumuman peringatan yang pertama dalam sejarah APEC. Kami yakin, pengumuman itu akan menyediakan panduan strategik selain mengukuhkan kedudukan mekanisme APEC dan memainkan peranan sebagai peneraju dan penyelaras bagi kerjasama ekonomi serantau."
Menggalakkan pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (APFTA) menjadi tumpuan perhatian pelbagai pihak dalam persidangan APEC kali ini. Menurut Presiden Xi, sidang kemuncak tidak rasmi pemimpin kali ini telah memutuskan untuk memulakan proses APFTA dan meluluskan peta garisan berkenaan. Katanya, "Ini langkah penting ke arah mewujudkan APFTA, sekali gus menandakan proses APFTA dimulakan secara rasmi. Peta garisan ini menunjukkan keyakinan dan keazaman anggota-anggota APEC untuk menggalakkan integrasi serantau. Ini merupakan satu keputusan yang bersejarah dan pasti akan meningkatkan integrasi rantau Asia-Pasifik ke satu tahap yang lebih tinggi."
Pelaburan infrastruktur dan kesalinghubungan serantau yang merupakan komponen penting dalam hubungan perkongsian Asia-Pasifik, menjadi topik rundingan utama dalam persidangan APEC kali ini. Presiden Xi berkata, "Kami memutuskan akan memperluas kerjasama pragmatik dalam bidang pelaburan infrastruktur dan mempromosikan kaedah pembiayaan menerusi perkongsian antara pihak kerajaan dengan swasta untuk menangani masalah kekurangan dana. Kami menganggap bahawa pengaliran tenaga profesional merupakan asas demi menggalakkan kesalinghubungan. Oleh itu, kami memutuskan akan melaksanakan inisiatif baharu seperti pendidikan rentas sempadan, mengeluarkan kad perjalanan perniagaan dan pelancongan rentas sempadan supaya lebih ramai orang mendapat faedah."